POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan terdapat kejadian samun menggunakan mata pisau disembunyikan di sebalik kad nama yang dikesan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini.
Supt Komunikasi Korporat PDRM Supt A. Skandaguru berkata sebaran mendakwa modus operandi individu itu bertindak mengetuk cermin pintu kereta sambil menghulurkan sekeping kad bagi bertanyakan arah, sebaliknya telah mula tular pada 2014.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, ia kembali ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab akhir-akhir ini. PDRM dalam masa sama mengesahkan tiada sebarang laporan polis berkaitan kejadian samun yang menggunakan modus operandi sedemikian.
“Turut ditularkan dua keping gambar individu cedera yang didakwa mangsa dalam kejadian samun berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, gambar seorang wanita yang cedera sebaliknya adalah mangsa samun dalam dua kejadian berlainan, sementara satu lagi gambar memaparkan seorang lelaki cedera pada bahagian muka adalah mangsa pergaduhan di sebuah pusat hiburan di luar negara.
Skandaguru menasihatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.
“Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” katanya. – Bernama, 2 November, 2021.
Komen