SELEPAS berakhirnya pilihan raya umum, Jepun kini berdepan satu lagi cabaran besar iaitu untuk memulihkan ekonominya yang terjejas akibat Covid-19.
Tinjauan ekonomi mendapati terdapat ketidaksamaan meluas dalam kalangan syarikat dan isi rumah serta harga minyak mentah yang lebih tinggi, lapor Agensi Berita Jiji Press.
Ketika kempen pilihan raya, parti pemerintah dan pembangkang berjanji untuk mengagihkan kekayaan dan mengurangkan cukai.
Tetapi kedua-dua pihak dilihat gagal membentangkan visi yang jelas mengenai cara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mencukupi bagi menyediakan sumber pembiayaan mampan untuk langkah tersebut.
Bulan lepas, Bank of Japan menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara untuk fiskal 2021 kepada 3.4 peratus berbanding 3.8 peratus, disebabkan kekangan bekalan dan kelembapan tahap penggunaan akibat pandemik.
Kelihatannya sukar untuk kerajaan mencapai matlamat mengembalikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke tahap sebelum pandemik, menjelang akhir tahun ini.
Eksekutif Ekonomi di Nomura Research Institute Ltd. Takahide Kiuchi berkata harga minyak mentah yang lebih tinggi dan kejatuhan yen “boleh menjejaskan pemulihan dalam penggunaan domestik dan ekonomi.”
Jumlah kebankrapan korporat akibat pandemik mencecah rekod bulanan tertinggi pada September dan Oktober, menurut data firma penyelidikan kredit, Tokyo Shoko Research Ltd.
Sokongan pembiayaan kerajaan setakat ini mengurangkan jumlah perniagaan yang gagal, tetapi data menunjukkan kesan hutang berlebihan berpunca daripada kemerosotan ekonomi berpanjangan yang semakin merebak.
Sokongan kerajaan diperlukan untuk memulihkan syarikat yang terkesan akibat pendemik. Tetapi jenis perbelanjaan pork-barrel yang dijanjikan parti politik akan menjejaskan potensi syarikat dan ekonomi Jepun.
Selagi kerisauan terhadap keselamatan sosial masa depan tidak dihapuskan, kitaran penggunaan dan pertumbuhan lebih kukuh tidak akan dapat dicapai.
Dasar ekonomi Abenomics, yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe dan kemudian diwarisi pendahulunya, Yoshihide Suga, telah menunjukkan pencapaian tertentu, seperti harga saham yang lebih tinggi.
Tetapi cabaran tetap ada, termasuk kelewatan pendigitalan dalam prosedur pentadbiran dan mengembangkan pendapatan boleh guna isi rumah. – Bernama, 2 November, 2021.
Komen