Palestin kecam Israel musnahkan alam sekitar


Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh semasa sidang COP26, di Glasgow, Scotland semalam berkata Israel secara sistematik memusnahkan alam sekitar di Palestin. – Gambar AFP, 2 November, 2021.

ISRAEL secara sistematik memusnahkan alam sekitar di Palestin, kata Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh pada Isnin semasa edisi ke-26 Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, atau COP26, di Glasgow, Scotland.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Shtayyeh mengetengahkan masalah alam sekitar di Palestin yang dicetuskan Israel.

Penempatan Yahudi, kuari dan tapak pelupusan sampah yang mengumpul sisa kimia, elektronik atau pepejal adalah antara faktor terpenting yang menyebabkan pencemaran alam sekitar di Palestin, lapor Agensi Anadolu memetik Shtayyeh, memberi amaran bahawa kesan negatifnya akan berganda dengan perubahan iklim.

“Mereka yang melihat peta moden Palestin akan mengetahui bagaimana alam sekitar telah dimusnahkan secara sistematik,” katanya sambil menyebut Israel telah menebang kira-kira 2.5 juta pokok di Palestin sejak 1967, dengan 800,000 daripadanya adalah pokok zaitun.

Shtayyeh berkata anggaran simpanan air tahunan Palestin adalah kira-kira 800 juta meter padu dan Israel telah “mencuri” 600 juta meter padu daripadanya, sambil menambah ia sebahagian daripada “dasar penjajahan sistematik Israel yang mahu mengubah tanah kita menjadi padang pasir dan merampasnya.”

Laut Mati akan mengering pada 2044 kerana sumbernya semakin berkurangan dan mineral serta garamnya dilombong untuk kegunaan industri Israel, katanya.

Shtayyeh berkata Palestin yang sedang bergelut dengan perubahan iklim,telah menandatangani Perjanjian Iklim Paris pada 2016 dan menjadi antara negara yang telah menyediakan pelan penyesuaian iklim. – Bernama, 2 November, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen