Pertumbuhan KDNK Indonesia suku ketiga dijangka 4.5%


Pertumbuhan KDNK Indonesia pada suku ketiga dijangka sederhana kepada 4.5% berbanding 7.1% pada suku kedua. – Gambar fail EPA, 2 November, 2021.

PERTUMBUHAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia pada suku ketiga dijangka sederhana kepada 4.5% berbanding 7.1% pada suku kedua, menurut Maybank Kim Eng.

Firma broker itu berkata penggunaan dan pelaburan swasta, yang masing-masing menyumbang 54% dan 32% daripada KDNK, dijejaskan penularan varian Delta dan sekatan yang ketat.

Penganalisis Lee Ju Ye dan Chua Hak Bin, dalam nota penyelidikan hari ini berkata jualan runcit merosot sebanyak -2.3% pada suku ketiga berbanding +11% pada suku kedua.

“Pelaburan langsung asing susut sebanyak -4.1% berbanding +18% pada suku kedua, penurunan pertama sejak suku kedua 2020 dan Kementerian Pelaburan Indonesia menyatakan sekatan sempadan telah menghalang kemasukan ramai pekerja mahir dari luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, pelaburan domestik terus meningkat, didorong terutamanya oleh sektor utama, tetapi pada kadar yang rendah.

Maybank Kim Eng mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2% pada 2021 dan 5.4% pada 2022 serta unjuran purata inflasi keseluruhan sebanyak 1.6% pada 2021 dan 3.2% pada 2022.

Inflasi terkawal di Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara, berikutan subsidi bahan api mengehadkan kenaikan harga tenaga manakala permintaan domestik yang rendah mengehadkan inflasi teras.

“Kami menjangka inflasi akan meningkat pada 2022 berikutan kenaikan cukai nilai tambah (kepada 11% daripada 10% bermula April 2022), harga komoditi global yang tinggi dan permintaan domestik yang pulih,” katanya.

Keputusan suku ketiga dijangka dikeluarkan pada Jumaat. – Bernama, 2 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen