KAPAL selam milik tentera laut Amerika Syarikat yang mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan di Laut China Selatan bulan lalu disahkan terlanggar batuan dasar laut, kata pihak tentera.
Armada ke-7 AS yang beroperasi di barat Pasifik berkata hasil siasatan mendapati kapal selam USS Connecticut terlanggar batuan dasar laut dan bukan kapal lain dalam kejadian 2 Oktober lalu.
“Hasil siasatan mendapati USS Connecticut terlanggar batuan dasar laut yang belum dipetakan semasa beroperasi di perairan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik,” kata jurucakap Armada ke-7 dalam satu kenyataan melalui e-mel.
Hasil siasatan telah diserahkan kepada Naib Laksamana Karl Thomas, komander Armada Ke-7 AS, “untuk menentukan sama ada tindakan susulan, termasuk akauntabiliti, adalah sesuai,” kata mereka.
Pihak tentera laut mengesahkan kejadian itu seminggu selepas ia berlaku, hanya mengatakan bahawa Connecticut, kapal selam serangan pantas berkuasa nuklear, melanggar objek semasa selaman.
USNI News melaporkan terdapat hanya kecederaan ringan dan sederhana dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Pelannggaran itu menyebabkan bahagian tangki balast hadapan rosak dan terpaksa timbul ke permukaan dan berlayar ke Guam untuk dibaiki.
Bagaimanapun loji nuklear kapal berkenaan tidak mengalami sebarang kerosakan.– AFP, 2 November, 2021.
Komen