NASA dan SpaceX terpaksa menangguhkan misi untuk menghantar empat angkasawan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berikutan isu kesihatan yang dihadapi ahli kru terlibat.
“Isu berkenaan bukan kecemasan kesihatan dan tiada kaitan dengan Covid-19,” kata Nasa dalam satu kenyataan tanpa memberi butiran lanjut.
Ahli Crew-3 yang terdiri daripada angkawasan Amerika Syarikat Raja Chari, Kayla Barron dan Tom Marshburn, dan angkasawan Jerman Matthias Maurer, akan terus dikuarantin di Pusat Angkasa Kennedy sehingga tarikh pelancaran mereka, menurut kenyataan itu,
Kru berkenaan sepatutnya menaiki kapal angkasa Crew Dragon dan berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada 31 Oktober.
Namun sehari sebelum itu, pelancaran terpaksa ditangguhkan bagi mengelakkan ribut solar.
Kini pelancaran dijadualkan semula pada Sabtu, 6 November, dari Cape Canaveral di Florida.
Nasa bagaimanapun tidak menyatakan angkasawan mana yang berdepan dengan isu kesihatan.
Crew-3 adalah sebahagian daripada kerjasama berbilion dolar Nasa dengan SpaceX yang ditandatanganinya selepas menamatkan program Space Shuttle pada 2011 dan bertujuan untuk memulihkan kapasiti AS bagi menjalankan penerbangan angkasa lepas manusia.
Pasukan itu akan menggantikan empat angkasawan Crew-2, termasuk warga Perancis Thomas Pesquet, yang telah berada di ISS sejak April.
Crew-3 akan menghabiskan masa enam bulan di pos orbit dan menjalankan penyelidikan untuk membantu penerokaan angkasa lepas dalam masa hadapan dan memberi manfaat kepada kehidupan di Bumi. – AFP, 2 November, 2021.
Komen