SEKURANG-kurangnya empat maut manakala puluhan lagi dipercayai masih terperangkap selepas bangunan yang sedang dalam pembinaan runtuh di Lagos, Nigeria.
Jengkaut terpaksa digunakan untuk mengalihkan kepingan konkrit bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat di runtuhan bangunan 21 tingkat yang terletak di daerah Ikoyi itu.
Menurut pegawai operasi menyelamat kebanyakan pekerja terperangkap dalam bangunan ketika ia runtuh namun tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar.
Ibrahim Farinloye daripada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nema) berkata setakat ini empat orang diselamatkan dari runtuhan dan empat mayat turut ditemui di kawasan berkenaan.
Gabenor Lagos Babajide Sanwo-Olu menggesa agar orang ramai tenang kerana usaha menyelamat akan diteruskan pada waktu malam.
“Pasukan penyelamat bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan berkenaan,” kata jurucakap gabenor, Gbenga Omotoso dalam satu kenyataan.
Salah seorang pekerja yang berjaya diselamatkan, Wisdom John, 28 berkata beliau hanya mengalami kecederaan ringan kerana berada di tingkat bawah ketika runtuhan berlaku.
“Terdapat lebih 50 orang pekerja ketika kejadian termasuk pengurus, kami hanya terus lari keluar,” katanya.
Kawasan Ikoyi merupakan salah satu kawasan elit dan daerah perniagaan di Lagos, Nigeria yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Kejadian runtuhan bangunan adalah biasa di Lagos dan bahagian lain negara paling popular Afrika itu kerana penggunaan bahan binaan yang tidak mengikut standard, kecuaian dan pelanggaran peraturan pembinaan. – 2 November, 2021.
Komen