Jamban emas yang ditawarkan bila Trump minta karya Van Gogh


Karya artis Itali, Maurizio Cattelan bertajuk “America” yakni sebuah jamban emas telah dipamerkan di muzium Guggenheim hampir setahun yang mana ia diletakkan di bilik air untuk kegunaan orang awam. – Gambar AFP, 28 Januari, 2018.

PERMINTAAN asalnya adalah untuk menggantung lukisan artis terkenal Vincent van Gogh di dinding di Rumah Putih.

Jawapannya? Tak boleh. Tetapi bagaimana kalau diganti dengan jamban bertatah emas 18-karat?

Sementara sudah menjadi adat untuk Presiden Amerika Syarikat meminjam karya seni ketika menjawat jawatan, namun, muzium Guggenheim di New York menolak permintaan Donald Trump dengan berhemah, lapor The Washington Post.

Apabila Rumah Putih memohon untuk meminjam catan pelukis Belanda bertajuk “Landscape With Snow” itu, ketua kurator muzium yang juga pengkritik tegar Trump membalas yang lukisan abad ke-19 itu “dilarang dari dikeluarkan kecuali atas tujuan yang sangat penting.”

“Kami minta maaf kerana tidak dapat tunaikan permintaan anda, tetapi semoga harapnya tawaran istimewa ini mungkin menarik minat (anda),” tulis Nancy Spector dalam e-mel yang didapatkan oleh The Washington Post.

Karya artis Itali, Maurizio Cattelan bertajuk “America” yakni sebuah jamban emas telah dipamerkan di muzium Guggenheim hampir setahun yang mana ia diletakkan di bilik air untuk kegunaan orang awam.

Sekarang ini, pameran itu telah tamat, dan artis itu “mahu meminjamkan kepada Rumah Putih untuk kegunaan jangka panjang,” lapor The Washington Post seperti dipetik dari e-mel itu.

“Ianya, semestinya, sangat berharga dan mungkin rapuh, tetapi kami akan sediakan tunjuk ajar untuk memasang dan menjaganya.”

Ditanya mengenai maksud karya jamban emas itu dan kenapa beliau menawarkan karya itu pada Trump, Cattelan, 57, menjawab: “Apa tujuan hidup kita? Semuanya nampak macam tak masuk akal sampailah kita mati. Lepas tu, barulah masuk akal.”

Sementara itu, muzium itu berkata, mereka “tidak ada maklumat lanjut untuk diberikan,” manakala Rumah Putih tidak menjawab sebarang soalan oleh AFP.

“Walaupun dikraf menggunakan emas bernilai jutaan dolar, arca itu sebenarnya sangat bermutu. Seperti Cattelan katakan, ‘Apa-apa pun yang awak makan, sama ada makanan berharga AS$200 mahupun AS$2 hot dog, keputusannya tetap sama, ia berakhir di tandas’,” tulis Spector dalam laman blognya pada Ogos lalu. – AFP, 28 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen