Polis selesai 30 kes jenayah ragut Geng Ashmer


POLIS berjaya melumpuhkan sindiket jenayah ragut barangan kemas ‘Geng Ashmer’ apabila menangkap semua empat anggotanya dalam beberapa siri serbuan di sekitar Sentul, Wangsa Maju dan Gombak dari 23 hingga 28 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, berkata semua empat ahli sindiket yang berumur lingkungan 25 hingga 51 tahun itu dikenal pasti bergiat aktif di sekitar Lembah Klang, sejak lima bulan lalu.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 30 kes jenayah ragut barangan kemas yang didalangi sindiket ‘Geng Ashmer’ yang aktif di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis daerah Sentul, di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Beh, dua daripada suspek didapati menyamar sebagai penghantar makanan sebelum meragut mangsa sementara suspek yang lain bertindak memantau keadaan sekeliling.

“Hasil siasatan lanjut mendapati ahli sindiket dipercayai pernah bekerja sebagai pekerja penghantar makanan serta menggunakan beg penghantaran makanan yang pernah mereka gunakan bagi mengaburi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, antara dirampas termasuk 36 utas rantai emas, dua motosikal dan dua beg penghantar makanan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah berkenaan.

“Rampasan rantai leher emas itu dianggar bernilai RM55,000 dan sindiket didapati menjual hasil ragut barangan kemas berkenaan kepada seorang lagi lelaki tempatan berumur 51 tahun di Selayang Baru,” katanya menambah hasil jualan emas itu kemudiannya akan dibahagikan dalam kalangan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Beh berkata, pihaknya menahan empat lelaki membabitkan dua warga tempatan dan dua warga asing lingkungan usia 24 hingga 27 tahun kerana disyaki cuba menyeludup minuman keras di sebuah premis di Jalan Sentul Pasar, Khamis lalu.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras dan dipercayai beroperasi sejak setahun lalu.

“Sebanyak 2,720 botol minuman keras pelbagai jenama ditemukan di dalam premis itu dipercayai barang tidak bercukai dengan nilai cukai dianggarkan RM100,000.

“Susulan itu, semua suspek ditahan reman tiga hari bermula 29 Oktober untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup,” katanya. – Bernama, 1 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen