4 ditahan seludup dadah RM8.1 juta di KLIA


Pihak keselamatan Malaysia Airport Berhad mencurigai kandungan 5 kotak yang dialamatkan ke Auckland. – Gambar Facebook, 1 November, 2021.

DUA kakitangan syarikat penerbangan kargo yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara empat lelaki yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar dadah seberat 200 kilogram ke New Zealand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain, berkata keempat-empat lelaki tempatan berusia lingkungan 34 hingga 59 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di KLIA dan sekitar Lembah Klang dari 22 hingga 26 Oktober.

Beliau berkata, tangkapan dijalankan selepas pihak keselamatan Malaysia Airport Berhad mencurigai kandungan lima kotak yang dibawa lelaki yang dialamatkan ke Auckland, New Zealand.

“Polis kemudiannya memeriksa kotak berkenaan yang diisytiharkan sebagai barangan elektronik dan menemukan 180 bungkusan dadah jenis syabu seberat 200kg dianggarkan bernilai RM8.1 juta.

“Dua kakitangan syarikat penerbangan kargo yang ditahan berperanan sebagai pemudah cara untuk sindiket terbabit mengeksport dadah itu ke luar negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis daerah KLIA di Sepang, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan awal polis mendapati sindiket itu melakukan empat penghantaran dadah ke luar negara melalui modus operandi yang sama sejak April lalu.

“Polis kini mengumpul maklumat mengenai ketua dan saki-baki ahli sindiket ini dan kami percaya akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Razarudin saringan air kencing mendapati seorang lelaki yang ditahan itu positif dadah jenis ganja dan mereka direman sehingga 5 November. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, polis turut menyita pelbagai aset milik suspek yang dianggar bernilai RM234,955 antaranya sebuah Ford Ranger, wang tunai RM3,560 dan jam tangan. – Bernama, 1 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen