AirAsia Food lancar perkhidmatan di Kota Bharu


PLATFORM penghantaran makanan oleh AirAsia Super app yang sedang berkembang pesat, AirAsia Food melancarkan perkhidmatannya di negeri Kelantan, merevolusikan sektor perkhidmatan penghantaran makanan dan meluaskan peluang ekonomi untuk pengendali restoran di negeri itu.

Ketua penghantaran (e-Dagang) AirAsia Super app Lim Ben-Jie, berkata pengembangan ke Kota Bharu mencerminkan komitmen jangka panjang AirAsia Food untuk membantu perniagaan kecil dan tradisional terutamanya di bandar membangun supaya peniaga dapat mengambil peluang dalam perkembangan ekonomi digital dan mengaut keuntungan.

Beliau berkata, langkah baharu itu seiring dengan misi AirAsia untuk membantu mereka yang memerlukan kerana pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu perniagaan kecil dengan menawarkan platform digital perniagaan yang lancar, pesanan dalam talian yang selamat dan penyelesaian pembayaran pada platform AirAsia Food.

“Apa yang paling penting, kami menawarkan caj komisen paling rendah di bandar, proses yang mudah dan tanpa bayaran pendaftaran. Kami ingin mempelawa lebih ramai pengendali makanan dan minuman tempatan untuk menerima permintaan perkhidmatan digital dan menjadi sebahagian daripada keluarga AirAsia Food.

“Perniagaan kecil boleh memanfaatkan ekosistem AirAsia Super app yang luas serta kukuh dengan pangkalan data pengguna selain pelbagai kempen pemasaran strategi yang direka dan menjadi terkenal dalam kalangan pelanggan dan peniaga.

“Kempen itu termasuk hidangan dan penghantaran percuma secara berterusan yang akan membantu pemilik restoran mengekalkan pelanggan walaupun selepas tamat tempoh promosi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim berkata, AirAsia Food juga menyediakan bantuan pendaftaran termasuk alatan dan inisiatif bagi memudahkan perniagaan luar talian beralih kepada dalam talian dan membantu peniaga yang berada dalam talian meningkatkan jenama mereka dan memberi akses penuh kepada perniagaan mereka.

“Operasi kos rendah adalah DNA kami dan semua penjimatan yang dimanfaatkan oleh peniaga akan diberikan kepada pelanggan yang seterusnya menawarkan harga lebih rendah supaya mereka dapat menikmati makanan kegemaran dari restoran terkenal di Kota Bharu,” kata Lim. – Bernama, 1 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen