-2.jpg)
TAHNIAH diucapkan atas selesainya pembentangan Bajet 2022 oleh menteri kewangan pada Jumaat lepas.
Sejurus pembentangan, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) meneliti dokumen bajet tersebut dan mengadakan perbincangan bersama para pesawah dari seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas.
Hakikatnya, dalam industri padi dan beras, bajet kali ini tidak membawa apa-apa perubahan.
Subsidi lama yang memang wajib diberikan kepada pesawah diulang-ulang sebut sudah dalam beberapa kali pembentangan bajet seolah-olah mahu menggambarkan semuanya cukup dan pesawah cuma mengada-adakan isu.
Rakyat Malaysia dan pemimpin negara perlu faham subsidi yang diberikan kepada pesawah adalah untuk rakyat Malaysia menikmati harga beras tempatan yang murah kerana dikawal harganya.
Walaupun kos bersawah naik berkali ganda hampir setiap tahun, jumlah subsisi yang diberikan masih sama. Ini tidak adil kerana harga beras dan harga padi tidak dinaikan seiring harga kos.
Selama ini, harga beras dikawal pada RM2.60 sekilo manakala harga minimum terjamin padi (sudah jadi harga tetap di peringkat kilang) masih RM1.20 sekilo.
Ini tidak termasuk faktor potongan pemutuan (potongan untuk mendapatkan berat bersih) yang semakin tinggi oleh kilang beras.
Ini bermakna, beras murah yang dinikmati rakyat Malaysia sebenarnya ditanggung oleh pesawah 100%.
Hal ini tidak berlaku kepada sayuran, ikan dan makanan lain yang harganya naik apabila kos meningkat, iaitu kenaikan kos ditanggung juga oleh pemborong dan pengguna.
Bajet 2022 juga ada membantu pihak petani dan pengeluar makanan yang lain yang menghadapi kenaikan kos, tetapi tidak membantu pesawah yang mengeluarkan makanan ruji rakyat Malaysia.
Jika kerajaan sudah tidak mahu memberikan subsidi yang merupakan balasan ganti kepada kawalan harga padi dan beras ini, apungkan sahaja harga beras. Rakyat yang susah, berikan bantuan kewangan untuk membeli beras yang naik harga.
Tapi sebelum itu, sistem yang sudah tidak betul sekarang mesti diperbetulkan. Monopoli benih dan input pertanian mesti dihapuskan. Biarkan semua pihak boleh mengeluarkan benih, kilang apa pun dibolehkan mengeluarkan benih, syarikat apa pun dibolehkan membekal input pertanian.
Kilang beras juga mesti dibantu untuk ditubuhkan. Perbanyakkan kilang walaupun kilang kecilan di kawasan komuniti setempat menggunakan mesin kecil sekalipun.
Ini lebih adil daripada dikawal harga beras, diberi subsidi tapi tidak melihat kenaikan kos yang berganda ganda.
Sekarang ini, kos sudah meningkat berkali ganda sejak berlakunya pandemik. Kerajaan tidak ada pilihan lain selain daripada memberikan tambahan subsidi, kawal kos supaya turun harga dan buat penguatkuasaan berkesan atau naikan harga padi. – 1 November, 2021.
* Mohd Fuad Yaacob ialah pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia.
Komen