Macron tuduh PM Australia bohong dalam isu perjanjian kapal selam


Presiden Perancis Emmanuel Macron menjawab soalan media pada sidang G20 di Rom. – Gambar AFP, 1 November, 2021.

PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron berkata beliau yakin Perdana Menteri Australia Scott Morrison berbohong berhubung isu pembatalan perjanjian kapal selam.

Pembatalan perjanjian itu mencetuskan krisis diplomatik yang serius membabitkan Perancis, Australia dan Amerika Syarikat (AS).

Seorang wartawan media Australia berjaya mendapatkan Macron di luar Sidang Kemuncak G20 di Rom, dan bertanyakan sama ada beliau percaya pemimpin Australia tidak jujur kepadanya.

“Saya tidak fikir. Saya tahu,” jawab Macron.

Temu bual dengan Macron itu disiarkan di Twitter, dan presiden Perancis itu menekankan kepentingan saling menghormati.

Perselisihan yang menjejaskan hubungan Paris dengan Washington dan Canberra tercetus bulan lalu apabila Australia membatalkan perjanjian kapal selam bernilai berbilion dolar dengan Paris dan memihak kepada perjanjian alternatif dengan AS dan Britain.

Berikutan itu Perancis memanggil pulang dutanya ke AS dan Australia sebagai tanda protes susulan pembatalan kontrak projek kapal selam bersama Australia bernilai lebih AS$57.7 bilion yang disifatkan sebagai tindakan “tikam belakang”.

Macron bertembung dengan Morrison di Sidang Kemuncak G20. Kedua-duanya berhubung melalui telefon awal minggu ini dan menyatakan hubungan kepercayaan terputus antara Perancis dan Australia.

Di Rom, pemimpin Perancis itu bagaimanapun mencapai beberapa persefahaman dengan Presiden AS Joe Biden.

Pada mesyuarat Jumaat lalu, di hadapan wartawan, Biden mengakui kepada rakan sejawatannya dari Perancis itu Washington kekok dalam mengendalikan perjanjian itu, dan berkata, “kami tidak ada sekutu yang lebih baik berbanding Perancis.” – AFP, 1 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen