EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) menggesa rakyatnya meninggalkan Lubnan segera, sehari selepas memanggil pulang diplomatnya dari Beirut susulan kenyataan seorang menteri Lubnan mengenai perang Yaman.
“Berdasarkan keadaan semasa, Kementerian Luar menyeru semua rakyatnya di Lubnan kembali ke UAE secepat mungkin.
“Kementerian mengambil semua langkah perlu untuk memudahkan kepulangan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam temu bual dirakam pada Ogos dan disiarkan minggu ini, Menteri Penerangan Lubnan George Kordahi berkata pemberontak Huthi yang disokong Iran di Yaman “mempertahankan diri… menentang pencerobohan luar”, sekali gus mencetuskan perbalahan diplomatik antara Beirut dan negara Teluk Arab.
Gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang turut membabitkan UAE bertindak campur tangan bagi menyokong kerajaan Yaman pada 2015, selepas pemberontak Huthi merampas Sanaa pada 2014.
Arab Saudi pada Jumaat memberi duta Lubnan 48 jam untuk meninggalkan negara itu, memanggil semula utusannya dari Beirut dan menggantung semua import dari Lubnan.
Bahrain dan Kuwait segera mengikuti langkah sama dan UAE pada Sabtu memanggil semula diplomatnya dari Beirut sebagai solidariti dengan Riyadh.
Kementerian Luar Arab Saudi berkata langkah itu diambil selepas kenyataan menghina mengenai perang Yaman, selain disebabkan pengaruh Hizbullah, gerakan Syiah Lubnan yang disokong Iran.
Kenyataan UAE semalam dibuat sejurus selepas Kordahi berkata peletakan jawatan adalah sesuatu yang mustahil.
Krisis diplomatik itu tamparan baharu kepada Lubnan, sebuah negara dalam kegawatan kewangan dan politik yang mana kerajaan sedang rapuh bergelut untuk mendapatkan bantuan antarabangsa, termasuk dari negara Arab. – AFP, 1 November, 2021.
Komen