AS kutuk junta Myanmar serang Chin


Tentera junta membedil bandar Thantlang selepas berlaku konfrontasi dengan pasukan pertahanan rakyat tempatan, menyebabkan kebakaran yang memusnahkan puluhan rumah dan bangunan. – Gambar AFP, 1 November, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) bimbang dengan tindakan junta Myanmar yang melakukan pencabulan hak asasi manusia dan memusnahkan lebih 100 rumah serta gereja di barat Chin.

Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata serangan kejam itu jelas mendesak masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera.

“Masyarakat antarabangsa perlu mendesak tentera Myanmar berhenti mencabul hak asasi manusia termasuk menyekat penyaluran senjata kepada tentera,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, media tempatan dan saksi melaporkan tentera junta membedil bandar Thantlang selepas berlaku konfrontasi dengan pasukan pertahanan rakyat tempatan.

Serangan menyebabkan kebakaran itu memusnahkan puluhan rumah dan bangunan termasuk pejabat Save the Children, badan amal yang berpangkalan di London.

Kebanyakan penduduk Thantlang meninggalkan bandar itu akibat pertempuran bulan lalu, dengan kebanyakannya menyelamatkan diri merentas sempadan ke India.

Pasukan maklumat junta mengesahkan dua gereja dan 70 rumah dibakar di bandar itu tetapi menuduh pasukan pertahanan rakyat tempatan mencetuskan kebakaran.

Jurucakap Junta, Zaw Min Tun memberitahu media tempatan dakwaan tentera terbabit dalam pembunuhan Thantlang adalah tidak berasas.

Price berkata Washington turut bimbang dengan operasi ketenteraan intensif junta di negara Asia Tenggara itu yang menyebabkan huru-hara sejak rampasan kuasa Februari lalu.

Dilaporkan, lebih 1,200 terbunuh akibat tindakan keras tentera terhadap kumpulan yang menentangnya.

Kumpulan dikenali sebagai pasukan pertahanan rakyat (PDF) muncul di seluruh negara menentang tentera junta, menyebabkan serangan balas semakin meningkat dan ramai terkorban.

Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan berlakunya pencabulan hak asasi manusia yang lebih meluas ketika dilaporkan ribuan tentera junta dikerah ke utara dan barat negara itu. – AFP, 1 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen