AS tangguh kelulusan vaksin Moderna untuk remaja


Kelulusan vaksin Covid-19 Moderna untuk remaja ditangguhkan bagi memberi lebih banyak masa menilai dengan lebih baik potensi risiko mendapat miokarditis atau radang jantung. – Gambar EPA, 1 November, 2021.

SYARIKAT bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna berkata kelulusan vaksin Covid-19 untuk remaja ditangguhkan bagi memberi lebih banyak masa menilai dengan lebih baik potensi risiko mendapat miokarditis atau radang jantung.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS pada Jumaat memaklumkan kepada Moderna agensi itu memerlukan masa tambahan untuk menilai analisis antarabangsa baru-baru ini mengenai risiko miokarditis selepas vaksinasi, kata Moderna dalam satu kenyataan semalam.

Penilaian mengesyorkan vaksin Moderna untuk kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun boleh berlarutan sehingga Januari 2022, kata syarikat itu.

Miokarditis dan risiko yang berkaitan, perikarditis (radang di sekitar jantung) sebelum ini dikaitkan dengan vaksin Pfizer dan Moderna terutama dalam kalangan remaja lelaki dan belia lelaki.

Bagaimanapun risiko itu jauh lebih tinggi selepas jangkitan Covid-19, menurut kajian yang diterbitkan pada Ogos oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

CDC mendapati “miokarditis selepas vaksinasi dengan vaksin mRNA jarang berlaku dan secara amnya ringan,” kata Moderna.

Satu lagi vaksin mRNA Covid-19 oleh Pfizer-BioNTech, pada Jumaat mendapat kelulusan untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, dalam dos lebih kecil berbanding orang dewasa.

Moderna sebelum ini dilaporkan berkata ia sedang menunggu FDA untuk memutuskan kelulusan vaksinnya bagi remaja di bawah umur 18 tahun sebelum mendapatkan kelulusan pengawal selia kumpulan umur yang lebih muda. – AFP, 1 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen