PIHAK berkuasa Brazil mengesahkan sembilan anggota bomba yang sedang menjalani sesi latihan, maut dalam insiden runtuhan bumbung gua.
Kejadian berlaku ketika sekumpulan 26 anggota bomba sedang menjalani latihan di sebuah gua di bandar Altinopolis, kata Jabatan Bomba Sao Paulo menerusi Twitter.
“Sembilan maut dan seorang mangsa berjaya diselamatkan. Tiada lagi mangsa di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam laporan awal, pegawai bomba berkata kejadian runtuhan itu menyebabkan tiga anggota bomba maut, manakala enam lagi hilang.
Setakat ini identiti mangsa belum didedahkan.
Menurut laporan awal Pejabat Datuk Bandar Altinopolis, 15 anggota bomba masih terperangkap dan tiga mangsa yang diselamatkan patah tulang dan mengalami hiportemia.
Lima mangsa dibawa ke hospital dan sudah dibenarkan keluar, menurut Pejabat Datuk Bandar.
Media sebelum ini melaporkan polis dan pasukan kecemasan yang menyertai anggota bomba dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa terperangkap dalam hujan lebat.
Akses ke tapak terpencil itu sukar dan berisiko berdepan runtuhan baharu, sekali gus merumitkan operasi menyelamat.
Gabenor Sao Paulo Joao Doria berkata di Twitter beliau akan memberikan sokongan dan sumber yang diperlukan untuk menyelamatkan mangsa.
Bercakap kepada GloboNews, Cristina Trifoni, ibu kepada seorang pengajar yang menyertai latihan itu berkata kumpulan berkenaan merancang untuk bermalam di dalam gua.
“Apa yang berlaku ialah pintu masuk ke tempat di mana mereka berada itu runtuh,” katanya.
Altinopolis terkenal dengan gua yang menjadi tarikan utama pelancong ke bandar itu. – AFP, 1 November, 2021.
Komen