Ribuan lari keganasan di Papua Indonesia selepas budak ditembak mati


Papua, wilayah bergolak di pinggir paling timur di kepulauan Asia Tenggara telah menjadi tempat pertempuran sejak beberapa dekad dalam salah satu pemberontakan paling lama di dunia. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2021.

PEMIMPIN gereja di wilayah Papua di Indonesia menyeru semua orang bertenang pada Ahad selepas ribuan penduduk melarikan diri ke tempat perlindungan selepas seorang budak lelaki berusia dua tahun terbunuh dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak yang menuntut kemerdekaan.

Wilayah bergolak di pinggir paling timur kepulauan Asia Tenggara itu telah menjadi tempat pertempuran sejak beberapa dekad dalam salah satu pemberontakan paling lama di dunia.

Minggu ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kejadian berbalas tembakan manakala seorang kanak-kanak berusia enam tahun dimasukkan ke hospital kerana kecederaan akibat tembakan di tengah-tengah pertempuran di daerah Intan Jaya, menurut pihak berkuasa, yang berkata pemberontak kemudiannya cuba mengawal lapangan terbang tempatan.

Polis sebelum ini menyalahkan gerila atas kejadian tembakan maut itu, namun AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas siapa yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu.

Pendapat bercanggah perkara biasa di Papua, di mana pasukan keselamatan Indonesia telah lama dibelenggu oleh dakwaan pencabulan hak asasi terhadap orang awam.

Khuatir lebih banyak keganasan, kira-kira 2,000 rakyat Papua telah berlindung di bangunan yang dikendalikan pihak gereja, kata Paderi Dominikus Hodo di Timika yang dilanda konflik.

“Kami seru kedua-dua pihak yang bertelagah supaya segera mengadakan gencatan senjata dan memulakan dialog untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan,” kata Hodo kepada pemberita pada Ahad.

Jurucakap Polis Papua Faizal Ramadhani mengakui pembunuhan itu dan beribu-ribu telah melarikan diri dari kawasan tersebut, menambah tentera mengawal kemudahan awam yang penting.

“Keadaan semakin baik,” katanya kepada AFP pada Ahad.

Jurucakap pemberontak Sebby Sambom berkata pertempuran minggu ini adalah pertempuran yang sah dalam perang untuk menuntut kemerdekaan.

“Pendirian kami sangat jelas dalam mempertahankan hak rakyat Papua untuk menubuhkan sebuah negara yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu pesanan ringkas.

“Perang untuk membebaskan bangsa Papua tidak akan berhenti sehingga Papua merdeka.”

Bekas tanah jajahan Belanda, Papua yang kaya dengan galian mengisytiharkan merdeka pada 1961, tetapi negara jiran Indonesia menguasai dua tahun kemudian menjanjikan referendum kemerdekaan.

Undian yang disokong PBB seterusnya memihak kepada Indonesia yang dianggap sebagai memalukan, mencetuskan konflik bertahun-tahun.

Penduduk Papua yang kebanyakannya beragama Kristian, Melanesia berkongsi sedikit hubungan budaya dengan seluruh Indonesia yang majoritinya beragama Islam. – AFP, 31 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen