SEORANG wartawan berita Filipina terbunuh selepas ditembak beberapa kali di rumahnya, kata polis hari ini, kejadian terbaru pembunuhan wartawan di negara itu.
Negara kepulauan itu adalah salah sebuah negara paling merbahaya untuk wartawan di dunia, dan kebanyakan pembunuh tidak dapat ditangkap dan dihukum.
Orlando Dinoy, wartawan untuk portal berita Newsline Philippines dan pengacara di Energy FM, ditembak enam kali oleh seorang penembak yang menyerbu masuk rumahnya di bandar Bansalan, Mindanao, kata Ketua Polis tempatan Mejar Peter Gelen Ipong.
Dinoy mati serta merta dan polis sedang menyiasat punca serangan, tambahnya.
“Salah satu sudut siasatan adalah kerjanya sebagai petugas media, tetapi tiada petunjuk kuat setakat ini,” kata Ipong kepada AFP.
Dinoy adalah wartawan ke-21 yang dibunuh sejak Presiden Rodrigo Duterte berkuasa pada 2016, kata Kesatuan Sekerja Wartawan Filipina.
Ketua Polis Negara Jeneral Guillermo Eleazar mengarahkan siasatan penuh dibuat dan berjanji akan melindungi petugas media daripada keganasan.
Dalam laporan dikeluarkan bulan ini, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan di New York meletakkan Filipina di tempat ketujuh dalam Indeks Impuniti Global, dengan 13 kes pembunuhan wartawan masih tidak selesai.
Negara itu sering berada dalam senarai sejak ia mula diterbitkan pada 2008. – AFP, 31 Oktober, 2021.
Komen