HARAPAN untuk melihat ekonomi luar bandar di Malaysia mendapat suntikan penggalak atau “booster shot” dengan kadar segera dalam Belanjawan 2022 dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat secara holistik ternyata mengecewakan.
.jpg)
Pemberian beberapa bentuk bantuan dalam Belanjawan 2022 yang dibentang Jumaat lepas (29 Oktober 2021) lebih tertumpu kepada keperluan masyarakat bandar dan kekurangan inisiatif untuk ekonomi luar bandar akan menyebabkan segmen ini lebih teruk terjejas, terutama dampak wabak Covid-19 berbanding kawasan bandar.
Peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar hanya meningkat sebanyak RM359 juta kepada RM7. 016 bilion yang mana peruntukan ini tidak mencukupi bagi membangunkan kawasan luar bandar bagi merangsang ekonomi rakyat di kawasan ini.
Kerajaan seharusnya memberikan peruntukan pembangunan yang lebih besar bagi mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan penduduk luar bandar.
Ini adalah kerana menurut perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, gaji dan upah penengah di luar bandar telah jatuh sebanyak 14.1% untuk tahun 2020, berbanding 11.6% untuk pekerja di kawasan bandar.
Selain itu, negeri yang mempunyai saiz kawasan luar bandar yang signifikan telah menyaksikan meningkatnya tahap kemiskinan.
Kelantan, misalnya yang mana hampir separuh isi rumahnya tinggal di kawasan luar bandar, mencatatkan peningkatan kemiskinan mutlak yang ketara kepada 21.2% pada tahun 2020 daripada 12.4% (2019).
Terengganu juga menyaksikan peningkatan kemiskinan mutlak kepada 12% berbanding 6.1% (2019).
Justeru, Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (Parti Amanah Negara) menggesa agar peruntukan ini disemak semula dalam usaha mencapai kemakmuran bersama yang lebih adil dengan merapatkan jurang kemiskinan segmen bandar dan luar bandar.
Di samping itu, peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan yang merencat usaha ke arah meningkatkan keselamatan makanan (food security).
Subsidi untuk sektor pertanian dan perikanan kekal tidak berubah sebanyak RM1.7 bilion. Kerajaan juga gagal memberikan perhatian serius dalam meningkatkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian di mana hanya setakat RM120 juta diperuntukkan untuk usahawan berteraskan teknologi dan jumlah ini tidak cukup untuk mengukuhkan jaminan bekalan makanan.
Negara tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada bekalan makanan import yang kini melangkau lebih RM50 bilion setahun.
Kerajaan harus memastikan lebih banyak pembekal atau “vendor” untuk industri-industri penting diwujudkan di kawasan luar bandar. Ini bagi mengukuhkan rantaian bekalan atau “supply chain” ekosistem perniagaan dan industri Malaysia terutama sektor pertanian.
Pelaburan awam serta swasta di kawasan luar bandar harus dipertingkatkan. Kesenjangan pembangunan dan sosio-ekonomi luar bandar dan bandar di Malaysia perlu dikurangkan.
Ekonomi luar bandar tidak boleh terus dianak-tirikan dalam arus pembangunan negara dan fiskal kerajaan, jika tidak jurang miskin kaya rakyat Malaysia akan semakin melebar. – 31 Oktober, 2021.
* Faiz Fadzil adalah pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Parti Amanah Negara
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen