SYARIKAT American Airlines terpaksa membatalkan ratusan penerbangan hujung minggu ini kerana kekurangan kakitangan susulan gangguan berkaitan cuaca, menurut data FlightAware pada Sabtu.
Laman web itu, yang mengesan kelewatan dan pembatalan penerbangan di AS, menunjukkan American Airlines membatalkan lebih 800 penerbangan pada Jumaat dan Sabtu dan menjangkakan lebih 400 pada Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines David Seymour berkata dalam memo kepada kakitangan pada Sabtu, masalah bermula pada Khamis dengan angin kencang yang menghalang kapasiti di hab Dallas syarikat dan menyebabkan kelewatan tugasan kakitangan untuk penerbangan akan datang.
Ketua syarikat berkata dengan tambahan isu cuaca, ia semakin buruk dengan masalah kekurangan kakitangan.
Beliau berkata berharap operasi akan dipulihkan segera dengan permulaan bulan baharu.
Beliau juga mengumumkan kepulangan 1,800 kakitangan penerbangan yang bersiap sedia sejak pandemik dan pengambilan 600 lagi menjelang akhir Disember, serta 4,000 pekerja lapangan terbang.
Kebanyakan pelancong yang terjejas akibat pembatalan itu boleh menempah semula untuk hari yang sama, kata syarikat penerbangan itu, yang mengendalikan 6,700 penerbangan harian ke 350 destinasi di seluruh dunia dan ke 50 negara.
American Airlines bukanlah syarikat penerbangan pertama yang mengalami kekurangan kakitangan kerana permintaan perjalanan meningkat dengan vaksinasi dan penarikan sekatan.
Minggu lalu Southwest terpaksa membatalkan lebih 2,000 penerbangan, membabitkan kos sebanyak AS$75 juta.
Masalah itu tercetus pada petang Jumaat oleh cuaca buruk dan kekurangan sementara pengawal trafik udara di satu kawasan di Florida.
Tetapi ia bertambah buruk dengan bilangan kakitangan yang terhad dan kemudian berlanjutan selama beberapa hari. – AFP, 31 Oktober, 2021.
Komen