Pejuang Taliban tembak mati 2 pemain muzik di majlis kahwin


Jurucakap Gabenor Taliban di Nangarhar, Qazi Mullah Adel mengesahkan kejadian tempakan oleh pejuang Taliban tetapi tidak memberikan butiran lanjut. – Gambar EPA, 30 Oktober 2021.

PEJUANG Taliban menembak mati dua tetamu perkahwinan yang sedang mendengar muzik, kata pegawai tempatan dan seorang saksi hari ini sekali gus memaksa kerajaan baharu Afghanistan menegaskan serangan sedemikian tidak dibenarkan.

Seorang saudara mangsa berkata pejuang Taliban melepaskan tembakan ketika muzik dimainkan pada majlis perkahwinan di Sorkhrud, di wilayah Nangarhar timur negara itu, mengorbankan dua nyawa dan mencederakan dua yang lain.

Muzik diharamkan pada kali terakhir Taliban memerintah Afghanistan dan sementara kerajaan baharu masih belum mengeluarkan arahan sedemikian, kepimpinannya masih tidak senang duduk dengan hiburan dan melihatnya sebagai melanggar undang-undang Islam.

“Pemuda itu bermain muzik di dalam bilik berasingan dan tiga pejuang Taliban datang dan melepaskan tembakan ke arah mereka. Kecederaan dialami dua individu yang cedera adalah serius,” katanya kepada pemberita.

Jurucakap Gabenor Taliban di Nangarhar, Qazi Mullah Adel mengesahkan kejadian itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Sumber keselamatan berkata, dua lelaki yang menyerang majlis perkahwinan itu kini dalam tahanan.

Di Kabul, jurucakap kerajaan Zabihullah Mujahid berkata beliau tidak dapat mengesahkan kejadian itu, tetapi berjanji ini bukan dasar Taliban untuk membunuh pencinta muzik.

“Siasatan masih diteruskan. Setakat ini, tidak jelas bagaimana ia berlaku,” katanya.

“Adakah ini masalah peribadi atau apa?

“Dalam barisan Emiriah Islam tidak ada sesiapa yang berhak untuk menghalang sesiapa daripada muzik atau apa-apa, hanya untuk cuba memujuk mereka. Itulah cara utama,” katanya pada sidang akhbar.

“Jika sesiapa membunuh seseorang, walaupun mereka kakitangan kami, itu adalah satu jenayah dan kami akan membawamereka ke mahkamah dan mereka akan berdepan tindakan undang-undang.”

Kerajaan Taliban sebelum ini antara 1996 dan 2001 mengenakan tafsiran yang sangat ketat terhadap undang-undang Islam dan hukuman awam yang keras.

Tetapi, sejak kembali berkuasa pada pertengahan Ogos selepas menggulingkan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat, Taliban, mencari pengiktirafan antarabangsa dan menamatkan sekatan, telah cuba menunjukkan pemerintahan yang lebih sederhana. – AFP, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen