Jordan beri amaran usir pekerja asing tidak divaksin


Menurut Kementerian Dalam Negeri Jordan, langkah tersebut termasuk pengusiran mereka yang tidak diberi vaksin. – Gambar EPA, 30 Oktober 2021.

JORDAN memberi amaran akan mula menghantar pulang mana-mana pekerja asing yang belum menerima dua suntikan vaksin Covid-19 menjelang pertengahan Disember.

“Langkah tegas akan diambil terhadap pekerja asing yang belum menerima dua dos vaksin Covid bermula 15 Disember,” demikian menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, lapor agensi berita rasmi Petra.

Menurut kementerian itu, langkah tersebut termasuk “pengusiran mereka yang tidak diberi vaksin”.

Puluhan ribu rakyat Mesir, Filipina dan warganegara lain bekerja di negara itu.

Ini menyebabkan kerajaan negara itu membuka pusat khusus vaksinasi percuma kepada warga Jordan dan warga asing.

Kementerian Dalam Negeri mengingatkan pekerja asing bahawa mereka harus “mendapat vaksin secara percuma dan tidak perlu mengemukakan alamat kediaman atau permit bekerja”.

Setakat ini, jumlah individu yang menerima dua dos vaksin melebihi 3.5 juta daripada 10 juta jumlah keseluruhan penduduk Jordan.

Kerajaan Jordan merekodkan lebih 859,000 kes jangkitan Covid-19 dan lebih 11,000 kematian. – AFP, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen