ARGENTINA tidak akan mengiktiraf keputusan pilihan raya Venezuela akan datang, kata presidennya Mauricio Macri, menuduh pemimpin kuat Venezuela Nicolas Maduro akan mengadakan “pemerintahan diktator.”
Minggu lalu, mahkamah tinggi Venezuela menghalang gabungan pembangkang negara itu dari bertanding pilihan raya presiden, langsung melancarkan jalan buat Maduro untuk kembali memimpin negara itu.
Keputusan mahkamah itu merupakan perkembangan terbaharu sejak beberapa bulan perseteruan antara pembangkang dan Maduro.
Maduro dilantik secara langsung oleh bekas pemimpin sosialis negara itu Hugo Chavez.
Setakat ini, tarikh mengundi belum ditetapkan namun dijangka akan diadakan selewat-lewatnya sebelum 30 April.
“Argentina tidak akan iktiraf pilihan raya ini,” kata Macri kepada AFP dalam wawancara di paris pada Sabtu, sehari selepas berjumpa dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron.
“Maduro mengejek rantau ini dan dunia,” katanya.
Setelah “memberi harapan” dengan membenarkan Republik Dominican dan negara Amerika Latin lain menjadi pengantara krisis pilihan raya Venezuela, “satu-satunya benda yang dia dah buat adalah dengan menghina hak asasi manusia,” tambah Macri.
Pada Jumaat, Macron berkata beliau menyebelahi sekatan Kesatuan Eropah terhadap Venezuela yang kaya dengan minyak itu.
Manakala Brazil dan Argentina tidak berminat untuk mengikut langkah Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk mengadakan sekatan dengan berkata mereka takut rakyat Venezuela yang sedia tertekan akan menjadi lebih sengsara bila sekatan dikenakan.
Bagaimanapun, Macri, dalam pada itu berkata beliau bersedia untuk “mencari jawapan” dalam perkara itu. – AFP, 28 Januari, 2018.
Komen