Empat terbunuh dalam serangan pengganas di Mali


Presiden Mali Ibrahim Boubacar Keita berkata pada ahli keluarga mangsa: “Semua rakyat Mali berkabung, seluruh Mali terkejut” dengan kematian penduduk awam yang tinggi itu. – Gambar AFP, 28 Januari, 2018.

DISYAKI pengganas telah membunuh empat anggota tentera Mali hari ini, menjadikan ianya serangan kedua di negara itu, kata pegawai tentera dan penduduk tempatan.

Keadaan keselamatan yang makin merosot mula menimbulkan kebimbangan apabila kumpulan pengganas yang berkait dengan Al-Qaeda telah melancarkan serangan ganas terhadap anggota keselamatan tempatan dan luar.

“Pengganas telah membunuh empat anggota tentera di Menaka dalam serangan itu,” kata sumber tentera Mali, menambah, “Mereka tak mampu tawan kem tentera. Sekarang ini kami masih mengawal keadaan.”

Kejadian itu disahkan oleh sumber kedua tentera Mali yang berkata, pengganas itu tiba “pagi tadi dengan motorsikal dan kereta,” sementara pegawai tempatan melaporkan kumpulan pengganas itu menyerang menggunakan roket.

Tambah sumber itu, kelihatan helikopter Perancis turut membuat rondaan di tempat kejadia itu.

Pada Sabtu, 14 tentera terbunuh dan 18 lagi cedera apabila pengganas menawan kem mereka di Soumpi, berdekatan dengan Timbuktu.

Pada Khamis pula, 26 penduduk termasuk ibu dan bayi terbunuh apabila kenderaan dinaiki mereka termasuk dalam kawasan periuk api di Boni, tengah Mali.

Kejadian itu membuatkan Presiden Mali Ibrahim Boubacar Keita turun melawat kawasan itu, dan membatalkan rancangan menghadiri persidangan Kesatuan Afrika.

Keita berkata pada ahli keluarga mangsa: “Semua rakyat Mali berkabung, seluruh Mali terkejut” dengan kematian penduduk awam yang tinggi itu.

Sejak awal 2012, pengganas Islam yang berkait dengan Al-Qaeda telah menawan kawasan utara padang pasir bekas jajahan Perancis itu.

Namun, penaklukan mereka kerap diganggu oleh serangan berterusan dikepalai pasukan tentera Perancis sebermula Januari 2013.

Pada Jun 2015, kerajaan Mali telah menandatangani perjanjian damai dengan gabungan bukan pengganas. – AFP, 28 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen