BANTUAN wang tunai yang diumumkan di bawah Bajet 2022 juga disediakan untuk individu bujang, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata, ramai yang mempersoalkan mengapa Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) tidak dihulurkan kepada golongan bujang.
“(BKM) Ada (untuk individu bujang). Ucapan bajet itu sebenarnya cuma sebahagian daripada pelbagai bantuan yang disediakan untuk Keluarga Malaysia,” katanya.
“Kalau saya mahu senaraikan semua, sampai malam pun mungkin ucapan saya tidak habis. Tapi dalam Bajet 2022 memang ada pelbagai bantuan untuk semua lapisan masyarakat.”
Di bawah BKM, individu bujang yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,500, akan menerima bantuan wang tunai RM350 secara ‘one-off’.
Ketika membentang bajet semalam, Tengku Zafrul berkata, peruntukan untuk BKM adalah RM8.2 bilion dan ia akan memanfaatkan 9.6 juta penerima.
Keluarga berpendapatan rendah kurang daripada RM2,500 dengan tiga atau lebih anak layak mendapat bantuan tunai RM2,000. Tambahan RM500 juga akan diberikan kepada ibu bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.
Tengku Zafrul berkata, bantuan tambahan sebanyak RM300 diperuntukkan kepada isi rumah warga emas.
Kelayakan bagi mereka yang layak untuk program itu kini berdasarkan garis kemiskinan makanan 2019 berjumlah RM1,169.
Ini katanya, bagi memastikan liputan kebajikan sosial lebih meluas kepada masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan. – 30 Oktober, 2021.
Komen