PKS persoal pelaksanaan inisiatif Bajet 2022


Raevathi Supramaniam

Pelbagai inisiatif diumumkan dalam Bajet 2022 semalam, tetapi industri mula mempersoalkan aspek pelaksanaannya ketika negara masih bergelut dengan ketidaktentuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

USAHA kerajaan untuk membantu pemulihan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MKS) menerusi pelbagai inisiatif dalam Bajet 2022 hanya akan berjaya jika dilaksanakan dengan berkesan, kata pakar industri.

Kemudahan kredit, pengecualian cukai dan program subsidi upah, menurut mereka, memang nampak elok atas kertas, tetapi kerajaan perlu mendapatkan gambaran sebenar melalui temu seru dengan pemain industri sendiri.

Ada juga pemain industri mempersoalkan bagaimana kemudahan kredit ini benar-benar dapat membantu perniagaan yang sudah di tahap genting dan sukar mendapatkan pinjaman tersebut.

Mereka juga menggelarkan Bajet 2022 sebagai bajet populis, tidak ubah seperti bajet terdahulu, kerana gagal mengambil kira kesan sebenar dibawa Covid-19 dan membuat peruntukan sewajarnya.

Naib Presiden Persatuan PKS Chin Chee Seong berkata walaupun ada inisiatif yang baik dalam bajet, ia tidak banyak beza dengan Bajet 2021 atau lapan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

“Ia tidak banyak beza dengan bajet tahun lepas dan pakej rangsangan ekonomi. (Tetapi) ini yang kerajaan boleh buat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya tak akan kata kami gembira dengannya, tapi kami bukanlah tak gembira juga. Perniagaan masih bergelut dan harapnya dengan bajet ini kami akan dapat atasi (cabaran) dan kembali ke landasan (pemulihan) tepat secepat mungkin.”

Chin berkata inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran menerusi inisiatif JaminKerja, walaupun layak dipuji, turut menimbulkan persoalan tentang aspek pelaksanaannya.

“Ini penting tetapi kita perlu lebih teliti. Ramai orang hilang kerja. Bagaimana kerajaan hendak melaksanakan (program) meningkatkan jumlah pekerjaan, itu yang kita perlu tengok betul-betul.

“Harapnya, kerajaan boleh berhubung dengan kami, benarkan kami beri komen dan libatkan kami dalam perkara ini. Ada banyak benda kita tak tahu, keperluan sebenar industri lagi, dan harapnya kami dapat atasi perkara ini.”

Bagi memacu tahap guna tenaga, Putrajaya memperuntukkan RM4.8 juta bagi memberi insentif kepada majikan di bawah Skim JaminKerja yang bermatlamat menyediakan pekerjaan untuk 600,000 orang.

Menerusi Perkeso pula, sejumlah RM2 bilion lagi akan diperuntukkan bagi menggalakkan majikan mengambil pekerja, langkah yang dijangka memberi manfaat kepada 300,000 orang.

Di bawah inisiatif ini, majikan yang mengambil pekerja dengan gaji RM1,500 dan ke atas akan menerima insentif 20% daripada gaji bulanan pekerja yang diambil selama enam bulan dan 30% lagi untuk enam bulan seterusnya. – 30 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen