PERBENDAHARAAN AS mengenakan sekatan ke atas program dron Iran pada Jumaat, menambah tekanan ke atas Tehran menjelang perundingan semula program nuklear negara itu.
Ia berkata peranti jarak jauh tanpa pemandu (UAV) yang merbahaya dari Tentera Pengawal Revolusi Iran telah digunakan untuk menyerang tentera AS dan kapal antarabangsa di rantau Teluk.
Dron itu juga dibekalkan kepada Hezbollah, Hamas dan Houthis di Yaman, serta dilihat di Ethiopia “di mana krisis semakin memuncak yang mewujudkan ancaman ketidakstabilan meluas di rantau itu,” kata Perbendaharaan AS.
Sekatan menyebut nama Brigadier Jeneral Saeed Aghajani, yang meneruji pasukan UAV Pengawal Revolusi.
Perbendaharaan berkata Aghajani adalah dalang serangan dron pada 2009 ke atas loji penapis minyak di Arab Saudi serta serangan pada 29 Julai 2021 di kapal komersial di pesisir pantai Oman yang membunuh dua orang anak kapal.
Turut dinamakan dalam sekatan itu adalah dua buah syarikat, Kimia Part Sivan dan Oje Parvaz Mado Nafar, yang menyediakan komponen dan membantu membangunkan pensenjataan UAV Pengawal Revolusi.
“Pemedirian UAV Iran di seluruh rantai mengancam keamanan dan kestabilan antarabangsa,” kata Timbalan Setiausaha Perbendaharaan Wally Adeyemo dalam satu kenyataan.
“Perbendaharaan akan terus mempertanggungjawabkan Iran atas tindakan tidak bertanggungjawab dan ganas,” katanya.
Sekatan itu dikenakan sembilan hari selepas serangan ke atas pangkalan tentera AS di An-Tanf, Syria melibatkan penggunaan dron.
Pentagon masih belum dapat mengenalpasti punca serangan yang tidak menyebabkan sebarang kecederaan itu, tetapi berkata Iran membekalkan dron dalam serangan serupa di seluruh rantau bergolak itu.
Sekatan itu diumumkan hanya dua hari selepas Iran berkata ia akan menyambung rundingan semula perjanjian program nuklearnya dengan kuasa dunia pada November.
Komitmen itu dikeluarkan selepas lima bulan masyarakat antarabangsa memberi amaran yang kesabaran terhadap tindak tanduk Tehran semakin menipis.
Jurucakap Kementerian Luar Iran Saeed Khatibzadeh bagaimanapun berkata sekatan terbaru itu menunjukkan “kelakuan bercanggah” pentadbiran Presiden Joe Biden.
“Sebuah pentadbiran yang mahu kembali ke meja rundingan nuklear mengikut kaedah sama (bekas presiden Donald) Trump. Dengan mengenakan sekatan, ia menghantar mesej yang ia tidak mempunyai keyakinan langsung,” katanya. – AFP, 30 Oktober, 2021.
Komen