KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mesti memperkasa keselamatan siber bagi memastikan pelajar yang mengikuti kelas dalam talian tidak diganggu kejadian tidak diingini seperti kemunculan secara tiba-tiba video lucah baru-baru ini, kata ibu bapa dan pakar.
Mereka mencadangkan kementerian itu menggunakan satu platform tertutup supaya ia boleh mengawal sepenuhnya platform pembelajaran dan melaksanakan penapisan sesawang yang lebih ketat.
Perunding keselamatan siber Foong Chong Fook, berkata platform terbuka yang digunakan pelajar untuk kelas dalam talian selama hampir dua tahun kini tidak memberikan kementerian kawalan sepenuhnya.
“Pelajar menggunakan platform seperti Google Classroom, jadi apabila kandungan lucah muncul, tidak hairanlah pelajar lain mengklik dan melihatnya,” kata Foong.
“Secara mudah, tujuan pembangunan platform terbuka adalah untuk memberi kemudahan dan tiada had. Kawalan privasi agak lemah.
“Oleh itu, jika anda menggunakan platform terbuka dan memerlukan pengawasan serta kawalan ketat, ia lebih sukar. Kita memerlukan platform sendiri.
“Sama seperti anak perempuan saya yang kini belajar di universiti di Australia, kawasan tempatan mempunyai platform kursus dalam taliannya sendiri dan keselamatan juga bertambah baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Foong berkata, KPM perlu melaksanakan penapisan sesawang yang lebih ketat.
“Platform ini tidak berdiri secara sendirian, jadi usaha lain diperlukan untuk menapis halaman sesawang secara lebih teliti,” katanya.
Walaupun dunia dalam talian sangat luas, beliau berkata, sentiasa ada kaedah untuk mengurus dan mengawal, memberikan pelajar ruang bilik darjah dalam talian yang lebih selamat.
Dilaporkan video seks lucah muncul dan mengejutkan pelajar yang mencatat kehadiran sebelum peperiksaan reka bentuk dan teknologi (RBT) yang dijalankan menerusi platform persidangan video Google Meet bulan lalu.
Guru yang bertanggungjawab segera meminta pelajar log keluar daripada kelas maya dan mendaftar menerusi borang dalam talian. – 1 November Oktober, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen