Bajet 2022: Meletakkan negara pada landasan lebih baik 


BAJET 2022 menekankan aspek pemulihan negara daripada kesan Covid-19 dan menyokong usaha transformasi ekonomi jangka panjang ke tahap yang lebih mampan.

Selaras dengan tiga fokus  utama, iaitu memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan  memangkin pembaharuan, peruntukan besar dalam Bajet 2022 adalah tepat memandangkan  keupayaan sektor swasta masih lagi lemah dalam memacu kegiatan ekonomi. 

Setiap lapisan masyarakat telah diberi perhatian melalui pelbagai langkah dalam bajet, selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia. 

Komitmen kerajaan dalam penyediaan pekerjaan menerusi Bajet 2022 dapat dilihat menerusi  pelbagai langkah termasuk program JaminKerja dan Malaysia Short-term Employment Programme (MyStep).

Inisiatif ini pastinya akan memberi kesan positif terutamanya bagi kumpulan yang paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja sektor tidak formal. 

Perlindungan sosial telah diberi tumpuan dengan peluasan liputan kepada pekerja sektor tidak formal dan suri rumah serta lanjutan Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Perkeso. 

Sokongan kewangan kerajaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan jumlah RM14.2 bilion melalui  pelbagai skim pembiayaan dan sokongan perniagaan juga akan menjadi kunci pemulihan ekonomi. 

Bantuan sosial berterusan untuk orang kurang upaya, warga tua, kanak-kanak serta golongan miskin di bawah program Bantuan Keluarga Malaysia (RM8.2 bilion) dan pelbagai bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (RM2.4 bilion) menunjukkan keprihatinan kerajaan. 

Di samping itu, empat inisiatif baru untuk program keselamatan makanan berjumlah RM120 juta adalah tepat pada masanya, memandangkan makanan merupakan aspek penting kesihatan rakyat. 

Peruntukan sebanyak RM32.4 bilion untuk mengukuhkan sektor kesihatan akan meningkatkan ketahanan daya tahan rakyat terhadap pelbagai penyakit, termasuk yang berkaitan kesihatan mental. 

KRI mengalu-alukan pengenalan Cukai Makmur sebagai langkah sementara untuk meningkatkan  hasil Kerajaan sehingga suatu langkah yang lebih mampan dapat dilaksanakan pada masa hadapan. 

Memandangkan Bajet 2022 melibatkan begitu banyak langkah-langkah positif dan holistik dalam pelbagai bidang, KRI berpendapat bajet ini akan menyumbang kepada pencapaian matlamat  gagasan Keluarga Malaysia.  – 30 Oktober, 2021.

* Nor Mohamed Yakcop adalah pengerusi Khazanah Research Institute (KRI) 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen