Bekas presiden Argentina diarah beri keterangan kes pengintipan


Mauricio Macri dituduh mengarahkan aktiviti risikan haram dilakukan ke atas saudara mara 44 kelasi yang terbunuh dalam tragedi kapal selam karam pada 2017. – Gambar AFP, 30 Oktober, 2021.

BEKAS presiden Argentina Mauricio Macri sekali lagi disepina semalam dalam siasatan skandal pengintipan, selepas presiden sekarang membatalkan sekatan menghalangnya memberi keterangan.

Penyiasat sedang mengkaji tuduhan yang pentadbirannya membenarkan aktiviti perisikan haram terhadap saudara 44 orang kelasi yang terbunuh dalam tragedi kapal selam karam pada 2017.

Macri hadir di mahkamah sebentar pada Khamis lepas untuk berhujah yang beliau tidak boleh memberikan keterangan kerana ia akan menyebabkan beliau mendedahkan maklumat sulit negara.

Tetapi, beberapa jam selepas itu Presiden Alberto Fernandez menandatangani arahan yang membatalkan sekatan kerahsiaan, seterusnya membolehkan Macri memberi keterangan di mahkamah, kata pegawai.

Semalam, Macri sekali lagi diarah memberi keterangan kes itu, dijadualkan pada 3 November.

Kapal selam ARA San Juan hilang pada November 2017. Apabila ditemui setahun kemudian, ia karam di kedalaman lebih 900 meter di Lautan Selatan Atlantik, 400km dari pesisir pantai Argentina.

Ia karam disebabkan masalah teknikal. Pihak berkuasa memutuskan untuk tidak mengangkatnya ke darat.

Ahli keluarga 44 orang anak kapal memberitahu penyiasat yang mereka diekori dan diintip, dirakam dan diugut agar membatalkan sebarang tuntutan berkaitan tragedi itu.

Macri, 62, didakwa mengarahkan pengintipan itu. Hakim menyelia siasatan akan memutuskan samada akan mendakwa bekas presiden itu.

Jika sabit bersalah Macri boleh dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun atas dakwaan melanggar undang-undang perisikan Argentina. Beliau mentadbir negara itu bermula pada 2015 sehingga 2019. – AFP, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen