Putera Andrew fail usul batal saman gangguan seksual


Putera Andrew berdepan tuduhan melakukan serangan seksual ke atas gadis bawah umur di AS. – Gambar EPA, 30 Oktober, 2021.

PUTERA Andrew dari Britain semalam memfailkan usul memohon mahkamah New York membatalkan saman gangguan seksual terhadapnya, menurut dokumen mahkamah.

Peguam Duke of York itu dalam pemfailan berkata yang Andrew “secara terhormat berusaha untuk menyingkirkan aduan plaintif Virginia Giuffre.”

Giuffre menyaman Andrew pada Ogos lalu, mendakwa putera itu menyerangnya secara seksual lebih 20 tahun lepas ketika dia berusia 17 tahun dan di bawah umur menurut undang-undang AS.

Andrew, 61, belum berdepan pertuduhan rasmi dan berulang kali menafikan dakwaan itu.

Bulan lepas, anak kedua Ratu Elizabeth II itu menerima waran mahkamah berkaitan kes itu dan diarah menjawab saman itu sebelum atau pada 29 Oktober.

Peguamnya meminta mahkamah daerah Manhanttan untuk kes itu dibuang “kerana gagal menyatakan dakwaan bagi membolehkan pelepasan diberikan.”

Selain itu, mereka juga meminta Giuffre, 38, “menyediakan kenyataan lebih jelas berkaitan dakwaan itu.”

“Putera Andrew secara terhormat memohon mahkamah mengadakan penghujahan lisan berkaitan usul (difailkannya),” kata peguam dalam satu kenyataan ringkas.

Giuffre mendakwa Andrew menyerangnya secara seksual di London, di rumah sosialit Ghislaine Maxwell.

Dia berkata putera itu juga menyerangnya di New York, di rumah ahli perniagaan Jeffrey Epstein, serta kediaman peribadi Epstein di Virgin Islands, AS.

Guiffre mendakwa Epstein yang membunuh diri ketika menunggu perbicaraan atas dakwan penyeludupan kanak-kanak untuk tujuan seks pada 2019, menghantarnya untuk mengadakan hubungan seks dengan mereka yang kaya dan berkuasa.

Andrew jarang dilihat di ruang awam sejak dipaksa menarik diri daripada semua acara melibatkan keluarga diraja pada 2019 kerana gagal menjarakkan diri daripada Epstein.

Maxwell pula dijangka hadir di mahkamah New York pada 29 November ini bagi berdepan pertuduhan merekruit gadis bawah umur untuk rangkaian salah laku seks diuruskan Epstein. Dia mengaku tidak bersalah. – AFP, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen