Taikun Rusia bayar AS$509 juta selesai kes elak cukai di AS


Oleg Tinkov membayar hampir AS$509 juta bagi menyelesaikan dakwaan mengelak cukai di AS. – Gambar AFP, 30 Oktober, 2021.

HARTAWAN Rusia Oleg Tinkov membayar hampir AS$509 juta bagi menyelesaikan dakwaan mengelak cukai di AS, kata Jabatan Kehakiman semalam.

Taikun perbankan dan pelaburan itu membayar cukai tertunggak dan denda selepas mengaku bersalah pada 1 Oktober lepas atas pertuduhan jenayah menyembunyikan aset bernilai lebih AS$1 bilion bagi mengelak cukai apabila melupuskan kewarganegaraan AS pada 2013.

Tinkov adalah pengasas Tinkoff Credit Services yang menjadi bank popular dalam talian Tinkoff Bank dan pemilik pasukan lumba basikal Tinkoff profesional.

Jabatan Kehakiman berkata Tinkov, 53, yang dilahirkan di Rusia menjadi warganegara AS pada 1996.

Pada 2013, Tinkoff Credit disenaraikan di Bursa Saham London, memberi nilai asetnya lebih AS$1.1 bilion.

Tiga hari selepas IPO itu, dia melupuskan kewarganegaraan AS di Kedutaan AS di Moscow.

Tetapi, proses melupuskan kewarganegaraan menghendakinya melaporkan jumlah kekayaan dan membayar cukai, dan Tinkov menghantar dokumen menyatakan asetnya hanya berjumlah AS300,000.

Pada 2019, Perbendaharaan AS mengeluarkan pertuduhan ke atasnya, berkata taikun itu berhutang AS$249 juta hasil sumber pendapatannya.

Dalam penyelesaian diumumkan pada Jumaat, dia dihendaki membayar dua kali ganda jumlah itu disebabkan kadar faedah terkumpul dan denda.

Jabatan Kehakiman memulakan proses ekstradisinya dari Britain tahun lepas bagi berdepan pertuduhan itu di mahkamah.

Tetapi Tinkov mencabar arahan itu, mendedahkan yang dia sedang menjalani rawatan kerana penyakit leukimia yang menyebabkan dia tidak boleh melakukan perjalanan jauh. – AFP, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen