KUMPULAN Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) mempersoalkan kerajaan kerana tidak memberi peruntukan yang sesuai untuk pembelajaran hibrid walaupun sektor pendidikan menerima bahagian terbesar daripada Belanjawan 2022.
Presidennya, Noor Azimah Abdul Rahim berkata dengan ketiadaan peruntukan untuk pembelajaran hibrid, murid terutamanya daripada keluarga B40 akan ketinggalan.
“Walaupun dunia bercakap tentang normal baharu terutamanya dalam pendidikan, peruntukan sepatutnya memanfaatkan kekuatan kita.”
“Kekuatan baharu kita ialah pembelajaran abad ke-21 akan kekal tetapi peruntukan untuk pembelajaran hibrid nampaknya tiada.”
“Pembelajaran abad ke-21 inilah yang akan mengurangkan pembelajaran yang terlepas serta menghapuskan beban guru yang berlebihan dengan menjadikan pelajar sebagai pelajar kendiri,” katanya.
Putrajaya memperuntukkan RM52.6 bilion untuk sektor pendidikan bagi tahun depan.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz turut mengumumkan kenaikan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 untuk 3 juta pelajar yang membabitkan nilai RM450 juta.
Bagaimanapun, Azimah berkata kerajaan sepatutnya memberi barangan berbanding pemberian wang tunai.
“Kami ingin melihat barang-barang yang disediakan dalam Bantuan Awal Persekolahan bermanfaat untuk kanak-kanak supaya mereka memulakan tahun akademik baharu dengan penuh yakin.”
Tengku Zafrul turut mengumumkan RM1 bilion peruntukan bagi penyelenggaraan dan baik pulih sekolah.
Azimah menegaskan PAGE ingin melihat sekolah mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut.
“Kami ingin lihat sekolah mendapat nilai untuk wang dan bukannya ketirisan atau menjadi taktik kepada pihak yang mengambil kesempatan.”
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan bagi bayaran sekali beri di bawah Insentif Khas untuk Guru.
Beliau juga meminta Putrajaya menubuhkan dana khas untuk memberi subsidi kepada guru membeli peranti baharu bagi tujuan pengajaran dalam talian.
Tengku Zafrul berkata petang ini 400,000 guru di seluruh negara akan menerima RM100 insentif khas sebagai penghargaan kerana menjalankan pengajaran dalam talian semasa pandemik.
Bagaimanapun bagi Azimah, insentif itu adalah satu penghinaan.
Azimah berkata, peruntukan yang besar itu perlu digunakan secara berkesan untuk guru berkeperluan pendidikan khas.
Menurutnya, guru khas perlu dilatih dengan betul dan ditambah bilangannya.
“Sekolah juga perlu meningkatkan tandas untuk OKU dan menjadikan sekolah mudah diakses oleh golongan itu,” katanya.
RM50 juta diperuntukkan untuk keperluan pendidikan khas oleh kerajaan.
Ia melibatkan pembelian kemudahan mengajar dan penambahbaikan kemudahan di sekolah. – 29 Oktober, 2021.
Komen