“THE mass vaccination hype will undoubtedly enter history as the most reckless experiment in the history of medicine.”— Geert Vanden Bossche
Hubungan langsung antara kebebalan dengan politikus sudah banyak dibicarakan dan disahkan, justeru tidak perlu lagi disebutkan di sini.
Sekiranya terhenti pada tahap kebebalan sahaja, itu memang biasa. Tetapi, sekiranya kebebalan itu dialih kepada tahap mengolah propaganda kebencian sehingga membentuk suatu kerumunan, itu sudah mencemaskan. Kita sekarang berada pada titik peralihan ini.
Mutakhir ini, beberapa politikus telah mengherotkan perbincangan mengenai vaksin daripada “wacana keberkesanan” kepada “wacana hukuman sosial” terhadap mereka yang enggan menerima vaksin; seolah-olah program vaksinasi besar-besaran merupakan langkah sakti dalam melawan pandemik.
Dengan mengutip hujah-hujah kalangan anti-vaksin secara terpilih — bahkan, kutipan hujah yang terlemah pula — maka puak politikus dan para pemujanya ingin membina suatu naratif sendeng kepada keseluruhan mereka yang menyanggah program vaksinasi besar-besaran.
Tujuannya apa? Ingin menjadi popular dengan menunggang pandemik.
Sudahnya apa? Mereka yang enggan divaksin terkucil (exclusion) daripada memperoleh kemudahan sosial yang lazim; bagi politikus dan para pemujanya, meraih sekutu majoriti secara politiknya lebih menguntungkan biarpun kesannya mencipta seteru minoriti.
Sungguhpun begitu, sebelum keadaan menjadi lebih parah, hakikatnya masih ada lagi sisa ruang untuk kita memikirkan semula pedekatan yang keras dan buta ekoran program vaksinasi besar-besaran; keras kerana berhelah dengan pendekatan pilihan-paksa, buta kerana enggan peduli risikonya.
Tentu sekali, bagi mempermudahkan perbincangan, beberapa hujah lain yang menolak program vaksinasi besar-besaran dikesampingkan dahulu.
Ini termasuklah hujah menyanggah program vaksinasi besar-besaran daripada perspektif (i) etika dan moral, (ii) hak dan kebebasan, (iii) peraturan dan perundangan, (iv) perbandingan keberkesanan program tersebut pelbagai negara, serta (v) bukti statistik keberkesanannya di negara-negara khusus.
Sebagai ingatan juga, hujah yang dikemukakan di sini bukannya diambil daripada golongan bumi leper, dajjal, iluminati, Yahudi, dll, seperti yang gemar dimomokkan oleh beberapa politikus dan para pemuja mereka (kita syak momokan ini dibuat bagi mendapat hanyutan perasaan yang mereka mendapat kemenangan mudah!).
Sebaliknya, hujah ini diambil daripada kalangan pakar virus dan epidemiologi yang sudah lama bergelumang dalam dunia vaksin.
Dalam keadaan dunia perubatan yang tidak pernah mempunyai konsensus saat berdepan dengan Sars-CoV-2, sekumpulan kecil pakar ini menjadi “voice of reason” dalam melawan kawanan kebebalan.
Hujah 1: Kononnya vaksinasi besar-besaran boleh mengurangkan jumlah pesakit Sars-CoV-2, termasuk pesakit teruk sekaligus mengurangkan beban hospital.
Terdapat dakwaan program vaksinasi besar-besaran boleh mengurangkan kebanjiran pesakit Sars-CoV-2 di hospital.
Dakwaan ini adalah berasaskan andaian bahawa program ini boleh mengurangkan pesakit kritikal, di samping kononnya mampu mengurangkan jumlah kematian.
Memang, sebahagian hujah ini betul, namun sebahagian yang lain perlu diperhalusi. Fakta yang kian diakui ialah ketumpatan virus (viral load) antara seorang individu yang menerima vaksin dengan tidak menerima vaksin adalah sama.
Fakta ini sahaja bererti bahawa setiap individu — sama ada menerima atau tidak menerima vaksin — adalah berpotensi untuk menjadi pembawa vaksin. Dalam ungkapan lain, kadar kebolehjangkitan sebenarnya tidaklah menurun hanya disebabkan oleh faktor vaksin semata-mata.
Dalam hal ini, tumpuan perlu diberikan kepada kadar kebolehidupan setelah dijangkiti Sars-CoV-2. Merujuk kepada Center for Disease Control (CDC), data mereka menyatakan bahawa kadar kebolehidupan adalah dipengaruhi oleh faktor umur dan komobiditi.
Menerusi data ini, jelas menunjukkan bahawa program vaksinasi besar-besaran tatkala pandemik adalah tidak diperlukan kepada kesemua orang memandangkan tumpuan utama perlu diberikan kepada mereka yang berumur 70 tahun ke atas, selain mereka yang mempunyai masalah komorbiditi.
Justeru itu, program vaksinasi besar-besaran yang melibatkan kumpulan penerima yang sihat serta kanak-kanak adalah sama sekali tidak relevan memandangkan kadar kematian mereka sangat rendah manakala kadar kebolehidupan mereka pula sangat tinggi.
Malah, lebih membimbangkan, menurut beberapa pakar virus, kadar kebolehjangkitan sebenarnya makin diburukkan menerusi program vaksinasi besar-besaran.
Penyataan ini ternyata bertentangan dengan andaian bahawa kononnya program vaksinasi besar-besaran boleh menangani Sars-CoV-2.
Ini kerana, program vaksinasi besar-besaran yang dilakukan semasa pandemik boleh mencetuskan keadaan “viral immune escape.” Ini berlaku ekoran persekitaran dan kualiti virus telahpun berubah sekaligus pendekatan awal menjadi kurang berkesan.
Sejak Mac 2021, ramai yang berbangga dengan ‘kejayaan awal’ Israel yang memulakan program vaksinasi besar-besaran, tetapi dalam waktu yang sama Geert Vanden Bossche mula mengingatkan kita mengenai kemunculan supervarian yang boleh menggagalkan sebarang program vaksinasi besar-besaran.
Sudah tentu, kebimbangan Geert Vanden Bossche ketika itu berasaskan kepada “vaccine-induced host immune pressure.”
Bagaimanapun, penemuan ini sepatutnya sudah boleh membuka kesimpulan yang program vaksinasi besar-besaran boleh meledakkan keadaan luar kawalan akibat perubahan pembolehubah persekitaran ekoran “infectious immune escape variants” tersebut.
Kebimbangan yang sama juga ditegaskan oleh Robert Malone bahawa langkah vaksinasi besar-besaran adalah pengambilan risiko yang tidak diperlukan. Dirumuskan pandangannya (Global Covid Summit 2021):
“The first is that the “spike” protein that forms the crux of the vaccine can cause potential health issues, for which there is already ample evidence that has not been fully disclosed. The second is that, in the rush to get the vaccines to the masses, not enough testing was conducted to fully understand the potential risks and complications, as there would have been under normal, non-pandemic circumstances.”
Oleh itu, kita dapat lihat di beberapa buah negara yang peratusan vaksinasinya tinggi kini kembali diserang dengan gelombang baharu akibat “breakthrough infection” (jangkitan yang bertindak melawan vaksin) sementara sistem imun penerima vaksin pula dalam keadaan suboptimum.
Hujah 2: Kononnya program vaksinasi besar-besaran boleh membentuk imuniti kelompok.
Di peringkat awal pandemik dinyatakan bahawa sejumlah besar peratusan penduduk yang bervaksin diperlukan untuk mencapai imuniti kelompok (HI).
Walau bagaimanapun, kini sasaran HI ini didakwa tidak lagi relevan memandangkan kita telahpun bertukar kepada fasa endemik.
Kita maklum bahawa takrif sebenar HI ialah bila mana jumlah kes telah menjadi minor serta tidak lagi merebak secara mendadak.
Sebenarnya, di peringkat awal lagi, beberapa pakar telahpun mengingatkan bahawa HI tidak boleh dicapai sekiranya program vaksinasi besar-besaran ini bersifat tidak bersasar.
Ini kerana memang HI tidak dapat dicapai sekiranya jumlah mereka yang pulih daripada Sars-CoV-2 adalah terlalu sedikit.
Sebab itulah, kumpulan yang berjaya melepasi serangan Sars-CoV-2 sangat penting dalam membina perlindungan lebih lama — yang mana kumpulan ini sekaligus akan menyumbang kepada pembentukan HI.
Namun, dengan program vaksinasi besar-besaran, kelompok harapan sukar dibentuk.
Dalam hal ini, sesuaisaranan banyak pakar terkenal seperti Robert Malone dan Dr. Peter McCullough, tahap HI dapat diperkuatkan apabila ada rawatan awal yang terhadap mereka yang dijangkiti Sars-CoV-2, sekaligus memperkuatkan sistem imun yang diperolehnya (acquired immune).
Apa yang disarankan ini jelas sekali selari dengan pandangan Geert Vanden Bossche juga bahawa “recovery from disease will always result in life-long immunity and thereby contribute to herd immunity.”
Selain itu, perbincangan imuniti juga perlulah melibatkan imuniti tabii/dalaman yang lebih berdaya tahan.
Menerusi program vaksinasi besar-besaran dalam tempoh pandemik, maka apa yang berlaku ialah ketahanan badan secara tabii dan dalaman telahpun menjadi lemah akibat pengaruh sementara kesan penerimaan vaksin.
Justeru, sekiranya kita berhasrat untuk membina HI, maka apa yang perlu dilakukan ialah tidak “mencurah minyak ke dalam api” menerusi program penggalak dan melibatkan vaksinasi kanak-kanak. Langkah ini hanya akan membuka kepada beberapa keadaan. Ini termasuklah:
Pertamanya, berlakunya varian yang baharu yang lebih bahaya kerana tindakan tersebut boleh mempercepatkan lagi rebakan Sars-CoV-2 lantaran terdapat kelompok yang sudahpun sihat sebagai lahan kepada varian virus baharu.
Keduanya, meletakkan penerima penggalak dan kanak-kanak dalam risiko potensi kesan sampingan (AEFI) yang tidak diperlukan.
Ketiganya, meletakkan penerima penggalak dan kanak-kanak dalam risiko di mana “vaccinal antibodies” tidak lagi berfungsi sepenuhnya ekoran pengaruh vaksin.
Sebab itu, kumpulan kanak-kanak adalah golongan yang paling tidak perlu divaksinkan kerana tahap kesihatan mereka umumnya berupaya melarutkan kebolehjangkitan sekaligus menjadi benteng kepada pembentukan HI secara tabii dan dalaman.
Inilah yang diingatkan oleh Geert Vanden Bossche bahawa:
“By vaccinating our youngsters, children and, even more generally, all people in excellent health, we deprive an important part of the population from its ‘anti-viral’ capacity and instead turn them into a breeding ground for more infectious and increasingly NAb-resistant variants. In other words, mass vaccination of children will inevitably obstruct the process of building herd immunity in the population.”
Hujah 3: Kononnya vaksinasi besar-besaran merupakan langkah menjaga kesihatan awam
Hujah lain yang mengungkapkan kepentingan program vaksinasi besar-besaran ialah langkah tersebut kononnya demi melindungi keupayaan kesihatan awam. Kita pernah mendengar hujah persis digunakan semasa perlaksanaan kuncitara (lockdown).
Namun begitu, dalam kenyataannya, kedua-dua hujah ini boleh didebatkan. Ini kerana, kedua-dua pendekatan ini tidakpun berjaya mengurangkan apatah lagi menghapuskan Sars-CoV-2.
Sentiasa ada gelombang demi gelombang, meskipun selepas kuncitara dan program vaksinasi besar-besaran.
Kita perlu sedar bahawa di kala pandemik, tujuan kesihatan awam ialah memastikan tahapnya pada kedudukan yang terbaik, tanpa perlu merobohkan struktur sosial dalam masyarakat yang telahpun sedia ada. Namun, apa yang berlaku ialah sebaliknya.
Tatkala pandemik; kadar bunuh diri meningkat, kadar kehilangan pekerjaan mencanak, dan kadar kesihatan awam merosot
Semua Ini menandakan betapa strategi kesihatan awam yang berasaskan kuncitara dan program vaksinasi besar-besaran adalah tidak berkesan.
Strategi ini bukan sahaja tidak berjaya membendung Sars-CoV-2, tetapi dalam waktu yang sama kita telahpun merobohkan struktur sosial yang sedia ada.
Ketidakpedulian kesan sosial berantai ini adalah sama dengan ketidakpedulian Anthony Fauci.
Saatnya ditanya mengenai kesan kuncitara di Amerika Syarikat terhadap golongan bawahan, maka dengan selambanya menjawab bahawa “itu bukan masalahnya.”
Tampaknya, kalangan pakar sepertinya hanya memikirkan sektornya semata-mata sehingga melupakan kesan keseluruhan terhadap struktur sosial sedia ada.
Ternyata, semasa kuncitara mereka telahpun buta kepada kesan sampingan sosialnya, dan sekali lagi semasa program vaksinasi besar-besaran mereka buta terhadap kesan sampingan vaksin pula.
Hakikatnya, dalam sejarah, kuncitara besar-besaran tidak pernah menjadi langkah tradisi dalam menangani pandemik. Sebaliknya, cara lazim untuk lawan pandemik ialah menerusi perlindungan yang bersasar, khususnya kepada mereka yang paling rentan.
Prinsipnya: lindungi orang tua dan mereka yang mempunyai komorbiditi, dan semua ini boleh dilaksanakan tanpa perlu memusnahkan struktur sosial.
Malangnya, hal yang bertentangan dilakukan oleh banyak negara. Inilah yang dikesalkan oleh John Tierney dalam City Journal:
“There’s still no convincing evidence that strict lockdowns reduced the death toll from Covid-19. But one effect is clear: more deaths from other causes, especially among the young and middle-aged, minorities, and the less affluent.”
Bahkan, kegagalan sektor kesihatan awam beberapa negara telah diremukkan lagi dengan dasar yang menakut-nakutkan masyarakat sehingga memicu panik sosial.
Ini terbukti menerusi ancaman yang diberikan kepada mereka yang enggan menerima vaksin.
Betapa pentingnya tahap kesihatan awam dipertahankan tatkala pandemik jelas terkumandang menerusi Great Barrington Declaration, yang ditulis oleh Martin Kulldorff, Sunetra Gupta dan Jay Bhattacharya.
Mereka menjelaskan bahawa “adopting measures to protect the vulnerable should be the central aim of public health responses to COVID-19.”
Tetapi sudahnya, vaksin tetap digunakan kepada semua, termasuk kepada mereka yang sihat. Dalam kata lain, memaksa masyarakat seluruhnya menerima vaksin hanya memusnahkan keyakinan orang ramai terhadap operasi kesihatan awam sahaja.
Justeru itu, cara terbaik untuk memastikan masyarakat senada dengan pengurusan kesihatan awam ialah dengan melibaturuskan pelbagai pakar (termasuk pakar yang berbeza pandangan), memberi maklumat jelas serta membuka ketelusan data.
Sekiranya pendapat pakar diambil secara terpilih mengikut selera semasa, paparan data pula tidak telus, serta sistem kesihatan awam dipolitikkan, maka keyakinan awam (public trust) memang sukar untuk dicapai.
Misalnya, data AEFI, data kematian disebabkan vaksin, data perbandingan pesakit antara kelompok penerima vaksin dengan tidak menerima vaksin, semua data ini perlulah dibentangkan secara mudah, terbuka dan rinci—bagi menunjukkan keberkesanan vaksin. Malangnya, ini dilakukan secara terpilih dan separa-sembunyi.
Sebab itu, pendekatan paksa dan kasar terhadap kalangan yang enggan menerima vaksin hanya menggambarkan kaedah penyampaian yang salah dalam dasar kesihatan awam. Bukan sahaja tidak membina keyakinan awam, tetapi pendekatan seperti ini sudahpun menempah kegagalan.
Sebagai contoh, dahulunya kita diwar-warkan menerusi kuncitara kelak dapat mengurangkan kebolehjangkitan Sars-CoV-2, sekarang bagaimanakah kita sekali lagi mahu mempercayai bahawa program vaksinasi besar-besaran boleh menjanjikan harapan yang sama?
Apakah tidak pernah terlintas di benak bahawa memang terdapat kepincangan dalam pendekatan kita selama ini?
Malah, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan betapa vaksin tidak lagi efektif selepas lima bulan. Fakta ini sahaja boleh membangkit soalan susulan: adakah keberkesanan 95% untuk sesetengah jenama vaksin bertempoh lima bulan sahaja? Ini bermakna, setiap lima bulan makanya akan sentiasa ada penggalak, kalau digunakan logik yang sama.
Kesimpulan
Sebelum ada yang memintas dalam membuat kesimpulan mudah, maka ada beberapa penegasan yang perlu digariskan.
Pertamanya, bantahan terhadap program vaksinasi besar-besaran ini bukanlah bermaksud anti kepada semua vaksin. Bantahan ini secara jelas bermaksud sanggahan terhadap program vaksinasi besar-besaran di kala pandemik, khususnya berkaitan Sars-CoV-2.
Keduanya, pemberian vaksin mestilah bersasar. Slogan “lindung diri lindung semua” sewajarnya bermaksud melindungi mereka yang rentan tanpa menggugat struktur sosial yang sedia ada.
Pendekatan ini lebih bijaksana berbanding dengan pendekatan agresif—yang kononnya ingin menjadi segala terpantas di dunia.
Dan ketiganya, tindakan rawatan awal lebih penting berbanding dengan pemberian vaksin menyeluruh. Kumpulan yang menerima rawatan ini yang boleh membantu kepada pembentukan HI.
Memang, kita bersetuju pandemik adalah suatu keadaan rumit yang dinamiknya ditentukan oleh silang hubungan antara virus, siri varian virus, imuniti individu, imuniti kelompok serta kadar kebolehjangkitan. Tetapi program vaksinasi besar-besaran bukanlah pendekatan yang berkesan.
Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah berani berdepan dengan pelbagai pakar yang bertentangan (yang pandangan mereka semakin hari semakin terbukti), berani mendedahkan data secara telus dan tepat, serta berani mengakui kesilapan pendekatan kesihatan awam yang gemar mencipta ketakutan, angkuh dan keras.
Kita perlu insaf, meskipun dengan senjata vaksin yang tercanggih sekalipun, sekiranya digunakan dengan cara salah dalam persekitaran yang salah, kita sebenarnya hanya menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kemaslahatan.
Sudahlah kita memudaratkan keadaan, malah kita dengan “hati kering” telahpun menikuskan rakyat, sama ada menerusi budaya ketakutan yang berbau fasisme mahupun budaya percubaan yang berciri narsisme. – 30 Oktober, 2021.
* Aqil Fithri adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen