Polis tangkap 9 individu culik lelaki Myanmar di Batu Kawan


POLIS menahan sembilan individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga Myanmar diculik dalam kejadian di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan dekat George Town pada 21 Oktober lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata tujuh lelaki Myanmar dan dua warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya berusia 21 hingga 48 ditahan dalam siri serbuan di Pulau Pinang serta Kedah sejak Isnin lepas hingga semalam.

“Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan memaklumkan pekerjanya lelaki etnik Rohingya berusia 26 tahun telah dilarikan dua lelaki, menggunakan sebuah kereta Perodua Viva berhadapan kilang tersebut pada 10.43 malam pada 21 Oktober lepas.

“Susulan laporan tersebut, polis menjalankan siasatan dan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar, Sungai Petani di Kedah pada Isnin dan ekoran itu kami menjalankan siri serbuan sebelum menahan sembilan individu tersebut di sekitar Kedah serta Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di George Town.

Katanya polis juga merampas kereta Perodua Viva dan wang tunai sebanyak RM3,000 yang dipercayai dibayar oleh keluarga mangsa kepada kumpulan berkenaan bagi membebaskan lelaki tersebut.

Beliau berkata tujuh lelaki warga Myanmar itu mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah dan kesemua mereka ditahan direman sehingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961. – Bernama, 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen