PIHAK berkuasa China telah mengarahkan platform media sosial utama negara itu supaya membendung “kandungan berbahaya” sejajar dengan usaha Beijing untuk mengawal kebebasan bersuara dalam talian.
Arahan itu bukan sahaja untuk menghalang perbezaan pendapat, juga bagi memastikan semua media “menyajikan arah tuju sosialisme.”
Malah, tindakan itu juga bukan tertakluk semata hal berkaitan seks dan keganasan, malah turut mencangkup muzik rap, kartun kasar, lawak kotor, gosip selebriti dan juga tatu.
Pada Sabtu, Beijing Cyberspace Administration berkata, Sina Weibo telah gagal mematuhi telunjuk pihak berkuasa dengan membenarkan pengguna memuat naik “kandungan yang mempunyai pendapat awam yang salah, lucah, cita rasa rendah dan diskriminasi etnik.”
Syarikat itu “telah melanggar undang-undang dan peraturan negara, menjurus kepada pendapat yang salah dalam talian dan memberi pengaruh yang buruk,” katanya.
Dalam kes berlainan diumum pada Jumaat, pemerhati keselamatan China mengumumkan yang mereka telah mendakwa seorang blogger dalam WeChat dengan denda sebanyak 200,000 yuan (RM120,016.50) kerana memuat naik “salah faham” mengenai mesyuarat antara syarikat dan pengawal selia.
China merupakan negara paling ketat dalam dunia, mengawal isi kandungan laman web dengan menggunakan apa yang digelar mereka sebagai “The Great Firewall.”
Malah, sekatan terhadap kebebasan bersuara memuncak sejak presidennya Xi Jinping mengambil alih kuasa pada 2012.
Undang-undang siber yang kontroversi itu, yang bermula sejak Jun lalu telah membuka lebih banyak peluang buat pihak berkuasa untuk menguatkan cengkaman dalam pelbagai jenis maklumat. – AFP, 28 Januari, 2018.
Komen