Rakyat Sudan ikrar teruskan protes selepas pertempuran maut


Walaupun diancam ditembak oleh pihak tentera, penunjuk perasaan Sudan tidak gentar malah berikrar untuk teruskan protes berikutan rampasan kuasa tentera terhadap kerajaan sementara dipimpin Omar al-Bashir yang kini dikenakan tahanan rumah. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2021.

PENUNJUK perasaan antirampasan kuasa Sudan berikrar untuk meneruskan kempen mereka pada Jumaat, berikutan pertempuran maut dengan pasukan keselamatan semasa demonstrasi menentang pengambilalihan tentera yang dikutuk secara meluas.

Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 170 cedera dalam protes sejak rampasan kuasa tentera pada Isnin, termasuk seorang penunjuk perasaan yang maut apabila pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan peluru berujung getah, menurut pegawai perubatan.

“Berhadapan dengan penunjuk perasaan aman dengan menembak adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan,” kata penunjuk perasaan Haitham Mohamed di Khartoum. “Ia tidak akan membuat kita mundur, ia hanya menguatkan semangat kita.”

Jeneral Abdel Fattah al-Burhan – ketua de facto Sudan sejak penyingkiran autokrat veteran Omar al-Bashir pada 2019 selepas protes besar yang diketuai pemuda – pada Isnin membubarkan kerajaan yang dipimpin orang awam negara itu dan mengarahkan penahanan beberapa pegawai atasan.

Majlis awam dan tentera secara bersama memerintah Sudan sejak Ogos 2019, di samping pentadbiran Perdana Menteri Abdalla Hamdok, sebagai sebahagian daripada kerajaan peralihan yang kini terhenti.

Hamdok dikenakan tahanan rumah, manakala pemimpin awam lain dalam tahanan tentera. Ibu kota itu telah digegarkan oleh kekacauan dan sedang bersiap sedia untuk demonstrasi besar pada Sabtu.

Burhan menegaskan pengambilalihan tentera “bukan rampasan kuasa” tetapi hanya bertujuan untuk “membetulkan perjalanan peralihan Sudan”.

Pada Jumaat, tentera biasa serta Pasukan Sokongan Pantas separa tentera yang amat digeruni berkawal di Khartoum, serta bandar berkembar Khartoum-Utara dan Omdurman, di seberang sungai Nil dari ibu negara.

“Tentera tidak berbeza dengan rejim sebelum ini,” tambah penunjuk perasaan Mohamed.

Pada Jumaat, pasukan keselamatan merobohkan penghadang protes yang dibuat menggunakan tayar dan batu, dan melakukan pencarian rambang terhadap penunjuk perasaan dan kereta.

Sebahagan besar capaian internet telah disekat, panggilan telefon terputus-putus, dan kedai-kedai sebahagian besarnya ditutup di Khartoum. Ramai penjawat awam enggan bekerja sehingga kerajaan peralihan dipulihkan. – AFP, 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen