Bayaran tunai RM2,000 melalui Bantuan Keluarga Malaysia


Sebanyak RM2,000 akan diberi kepada keluarga berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan dengan isi rumah tiga anak, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2021.

JUMLAH bantuan tunai akan dinaikkan kepada RM2,000 kepada keluarga berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan dengan isi rumah tiga orang anak, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Bayaran melalui Bantuan Keluarga Malaysia itu juga menjamin RM500 kepada ibu atau bapa tunggal dengan pendapatan sehingga RM5,000 sebulan, katanya di Dewan Rakyat.

Selain itu, sebanyak RM300 lagi disediakan kepada warga emas dan RM2.4 bilion bagi golongan anak yatim akibat Covid-19, katanya sewaktu membentangkan Bajet 2022.

“Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat sebelum ini,” katanya.

Sebanyak RM300 juga akan diberi kepada isi rumah warga emas, katanya menjelaskan skim BKM yang mensasarkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion itu.

Katanya, syarat kelayakan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan (PGK) 2019 iaitu RM1,169.

Jumlah itu lebih tinggi daripada PGK 2016 iaitu RM980, yang membolehkan lebih ramai dapat menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM, melibatkan peruntukan tambahan RM200 juta.

“Secara keseluruhan, RM2.4 bilion disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440 ribu isi rumah memerlukan,” katanya. – 29 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen