Syarat kewarganegaraan penerbangan Korea Selatan, EU dimansuhkan


Syarikat penerbangan Korea Selatan dan negara EU akan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan untuk perkara berkaitan syarat kewarganegaraan mulai bulan depan. – Gambar fail EPA, 29 Oktober, 2021.

SYARIKAT penerbangan Korea Selatan dan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan untuk perkara berkaitan syarat kewarganegaraan mulai bulan depan di bawah perjanjian penerbangan baharu.

Korea Selatan dan 22 negara anggota EU menandatangani perjanjian penerbangan itu pada Jun 2020 dan berkuat kuasa Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Kementerian Luar Seoul pada Jumaat.

Perjanjian itu akan memudahkan syarat kewarganegaraan bagi syarikat penerbangan untuk membenarkan mana-mana negara anggota EU beroperasi di laluan antara kedua-dua pihak, katanya.

Kementerian Luar Seoul berkata pihaknya menjangkakan perjanjian penerbangan baharu itu akan meningkatkan penerbangan antara Korea Selatan dan EU, selain memberikan pilihan yang lebih banyak kepada penumpang. – Bernama, 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen