Kisah parti politik di Melaka sepanjang tiga PRU lalu


Raevathi Supramaniam

Melaka menyaksikan perubahan pemerintahan daripada BN ke PH antara PRU12 pada 2008 dan 2018 hingga runtuh sekali lagi bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November depan susulan keruntuhan kerajaan negeri selepas empat wakil rakyat menarik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Ini kali kedua kerajaan negeri itu terbubar seleas pilihan raya umum (PRU).

Pada PRU 2008 dan 2014, Barisan Nasional (BN) memegang kuat negeri itu tetapi selepas PRU14 pada 2018, kerajaan negeri Melaka jatuh kepada Pakatan Harapan (PH).

Pemerintahan PH bagaimanapun hanya singkat apabila pada Mac 2020, Adun Pengkalan Baru daripada DAP Norhizam Hassan Baktee dan Adun Rembia daripada PKR Muhammad Jailani Khamis belot.

Ironinya, Norhizam juga antara empat Adun yang menyebabkan keruntuhan kerajaan negeri kali kedua ini, bulan lalu, membawa kepada PRN terpaksa diadakan ketika negara ini masih dalam proses pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

The Malaysian Insight menyorot pencapaian parti dan gabungan politik di Melaka sepanjang tiga PRU lalu.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen.

PRU12 pada 2008

Pada PRU12, parti komponen BN iaitu Umno, MIC dan MCA masih memegang sokongan kuat daripada pengundi Melaka.

BN menang 23 kerusi pada PRU12 sementara Pakatan Rakyat – gabungan PKR, DAP dan PAS menang lima kerusi.

PAS bertanding melawan Umno di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Lendu, Taboh Naning, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Bukit Baru, Ayer Molek, Teluk Mas, Serum, Merlimau dan Sungai Rambai. PAS kalah di semua kerusi itu.

PKR bertanding di Ayer Limau, Rembia, Gadek, Machap, Sungai Udang, Paya Rumput dan Rim. PKR juga tewas semuanya di tangan Umno.

Pada PRU 2008 dan 2014, Barisan Nasional (BN) memegang kuat negeri itu tetapi selepas PRU14 pada 2018, kerajaan negeri Melaka jatuh kepada Pakatan Harapan (PH). – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

DAP satu-satunya parti yang dapat memenangi beberapa kerusi, menewaskan Gerakan di Bachang, Duyong dan Bemban, kalahkan MCA di Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Banda Hilir.

Daripada 295,207 pengundi yang keluar mengundi, 55% atau 163,917 memilih BN sementara Pakatan Rakyat dapat 42.1% undi.

Walaupun pencapaian BN agak cemerlang di negeri itu, tetapi kejayaan sama tidak tercapai di seluruh negara.

Di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, tahun ini BN tidak memenangi majoriti besar dalam PRU.

PRU13 pada 2014

Pada PRU13, BN masih memegang majoriti di Melaka, tetapi hilang dua kerusi pada PRU sebelumnya.

Ia tewas di Bukit Baru kepada PAS sementara MCA hilang Duyong apabila DAP menang di kerusi itu.

DAP, PKR dan PAS sekali lagi bekerjasama di bawah gabungan Pakatan Rakyat.

PKR berdepan Umno di Ayer Limau, Lendu, Rembia, Sungai Udang, Paya Rumput dan Rim tetapi tewas di semua kerusi itu. Ia juga tewas kepada MIC di Gadek dan MCA di Machap.

DAP saja yang berjaya, menang enam lagi kerusi, tambahan kepada lima kerusi dimenangi pada PRU12.

DAP berjaya mempertahankan kerusi Bachang, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Banda Hilir yang dimenangi pada PRU12 dan menewaskan MCA untuk mengambil alih Duyong.

Secara keseluruhan, BN masih mampu memegang majoriti dan menubuhkan kerajaan negeri dengan 21 kerusi sementara pembangkang menang hanya tujuh kerusi.

Daripada 376,763 undi, BN masih menang majoriti dengan 53.41% atau 201,228 undi. Pakatan Rakyat memperoleh 46.24% undi.

PRU14 pada 2018

PRU14 menyaksikan permulaan pakatan baharu – Pakatan Harapan (PH) – antara parti pembangkang yang membawa kepada tamparan hebat kepada BN di Melaka dan juga seluruh negara.

PH berjaya menamatkan pemerintahan 60 tahun BN dan memenangi PRU14.

Di Melaka, selepas menang lebih 20 kerusi pada dua PRU sebelumnya, BN hanya mampu menang 13 kerusi pada 2018.

Pembangkang menggandakan kerusi dimenanginya di negeri itu kepada 15.

Gabungan PH pada 2018 terdiri daripada DAP, PKR, Bersatu dan Amanah.

PAS bersendirian pada pilihan raya kali ini.

Kerusi Rembia, Gadek, Machap Jaya dan Durian Tunggal yang dipegang BN pada dua PRU sebelumnya, dirampas pembangkang.

PKR melawan Umno di Rembia pada PRU12 dan PRU13 tetapi kalah, dan akhirnya berjaya menang pada PRU14 dengan majoriti 1,814 undi.

Sama juga di Machap Jaya yang sebelum ini dikenali sebagai Machap, dipegang MCA tetapi PKR menang kerusi itu pada PRU 2018 dengan majoriti 1,336 undi.

PRU14 menyaksikan permulaan pakatan baharu – Pakatan Harapan (PH) – antara parti pembangkang yang membawa kepada tamparan hebat kepada BN di Melaka dan juga seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

Amanah, parti serpihan PAS, yang bertanding kali pertama pada PRU14 juga berjaya menewaskan Umno di Durian Tunggal. Ia juga menang di kerusi Bukit Katil, sebelumnya dikenali sebagai Bukit Baru, menewaskan PAS.

Bersatu, yang pada masa itu diketua bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menang dua kerusi di Melaka.

Kerusi Paya Rumput yang dipegang Umno selama dua penggal, tewas kepada Bersatu dengan 4,259 undi majoriti.

Begitu juga di Telok Mas, kerusi Umno selama dua penggal, jatuh kepada Bersatu yang memenanginya dengan 1,288 majoriti undi.

DAP terus terus mengukuhkan cengkaman di Melaka terutama di kerusi kawasan Cina, menewaskan MCA, Gerakan dan MIC untuk meraih lapan kerusi, bertambah daripada enam pada PRU sebelumnya.

Gadek, yang dipegang Umno pada PRU12 dan kemudiannya MIC, tewas kepada DAP dengan majoriti undi hanya 307.

MCA juga hilang kerusi Bemban yang dimenanginya dalam dua PRU, kepada DAP dengan 1,345 majoriti undi.

PH lebih banyak menang undi popular berbanding PAS dan BN pada PRU sebelumnya. Ia memperoleh 51% atau 213,993 undi daripada 417,884 undi keseluruhan.

Pilihan raya mengejut 2021

Menurut data Ilham Centre, blok terbesar pengundi di Melaka adalah orang Cina, mereka yang bekerja dan tinggal di luar negeri itu, dan belia.

Pada PRU14, 84% penduduk Melaka keluar mengundi. Mereka inilah yang membantu PH menang di negeri itu.

Badan kajian itu berkata PH akan terus menerima faedah daripada pertarungan banyak penjuru antara parti Melayu.

Di kawasan majoriti Cina, Ilham Centre berpandangan MCA tidak mempunyai peluang untuk menang melawan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2021.

Umno memutuskan untuk bergerak sendiri walaupun mempunyai kerjasama politik dengan PAS menerusi Muafakat Nasional dan hubungannya dengan Bersatu dalam kerajaan diterajui Ismail Sabri Yaakob sekarang.

PAS dan Bersatu pula bernaung di bawah kerjasama politik, Perikatan Nasional.

Tambah Ilham Centre, berdasarkan keadaan sekarang, ada 12 kerusi DUN yang majoriti Melayu dengan 70% pengundinya adalah orang Melayu.

11 kerusi lagi mempunyai antara 51% dan 69% pengundi Melayu. Baki lima kerusi adalah kawasan majoriti bukan Melayu.

Di kawasan majoriti Cina, Ilham Centre berpandangan MCA tidak mempunyai peluang untuk menang melawan DAP.

Penganalisis politik Mazlan Ali bersetuju, berkata yang trend kegagalan MCA dijangka diteruskan pada pilihan raya mengejut 20 November ini. – 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen