SEPANYOL akan mengharamkan iklan yang ditujukan kepada kanak-kanak untuk makanan dan minuman tinggi gula seperti bar coklat dan soda dalam usaha memperlahankan wabak obesiti yang semakin meningkat.
Larangan itu yang akan berkuatkuasa pada 2022 akan menyasarkan iklan di televisyen, radio, saluran dalam talian dan aplikasi mudah alih yang membuat kandungan untuk bawah 16 tahun, kata Menteri Hal Ehwal Pengguna Alberto Garzon kepada pemberita.
“Anak bawah umur adalah pengguna yang terdedah dan menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka dari pengiklanan,” katanya.
Larangan itu akan dikenakan pada iklan bar coklat, pastri, aiskrim, minuman ringan dan minuman manis lain – produk yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia adalah “memudaratkan” untuk kanak-kanak.
Menteri itu berkata Sepanyol akan mengikut jejak langkah negara Eropah lain seperti Britain, Norway dan Portugal.
Sekitar satu daripada tiga kanak-kanak di Sepanyol mempunyai berat badan berlebihan, meningkat dari hanya tiga peratus pada 1984, menurut angka kerajaan Sepanyol.
“Pengiklanan adalah salah satu punca angka ini meningkat,” kata Kementerian Hal Ehwal Pengguna menerusi Twitter.
Obesiti atau berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 19 tahun di seluruh dunia meningkat dengan mendadak pada 4.0% pada 1975 kepada hanya lebih 18%. – AFP, 29 Oktober, 2021.
Komen