KOMPAUN RM10,000 yang dikenakan ke atas Barisan Nasional (BN) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pelancaran jentera pilihan raya negeri (PRN) Melaka semalam mengundang rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang dan orang ramai.
Jumlah itu kata mereka tidak adil dan berat sebelah, jelas menunjukkan kerajaan mengamalkan pilih kasih dalam melaksanakan SOP bagi membendung Covid-19.
Hukuman atau denda pasti lebih berat jika membabitkan rakyat biasa atau wakil rakyat pembangkang, tambah mereka.
Ahli Parlimen Bakri Yeoh Bee Yin menerusi Twitter berkata jumlah kompaun RM10,000 kepada BN tidak adil jika dibanding dengan kompaun yang dikenakan ke atas wakil rakyat pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu, selepas tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen.
“Peringatan kepada Kementerian Kesihatan: Setiap seorang daripada kami dikompaun. Sekarang, tolong buat perkara yang sama ke atas perhimpunan BN malam semalam.
“(Perdana Menteri) Ismail Sabri Yaakob dan (Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin berani lah sikit,” tulisnya disertai gambar perhimpunan ahli Parlimen di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.
Reminder to @KKMPutrajaya: EACH of us was fined. Now, do the same to the UMNO gathering last night. @IsmailSabri60 @Khairykj have some guts. https://t.co/yqkdtGmrLt pic.twitter.com/fpkaCOBz7Q
— Yeo Bee Yin (@yeobeeyin) October 28, 2021
Ahli Parlimen pembangkang yang berhimpun ketika itu dikenakan RM3,000 setiap seorang.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kemudian berkata kerajaan setuju mengurangkan jumlah kompaun kepada RM1,000.
Semalam, Pejabat Kesihatan Kepong mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada BN kerana melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyuarakan rasa tidak puas hati atas perkara sama di Facebook hari ini.
Penganjur Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) semalam dikenakan kompaun RM4,000 kerana mengadakan sidang akhbar di Melaka.
Polis Daerah Melaka Tengah dalam satu kenyataan berkata kompaun dikenakan selepas sidang media berkenaan melanggar SOP yang melarang sebarang perhimpunan berkaitan pilihan raya.
“Inilah Malaysia. Berkumpul beramai-ramai dan buat majlis pelancaran jentera PRN Melaka, kena denda RM10,000.
“Peserta perhimpunan cecah ribuan orang. Tak ada penjarakan fizikal, tak semak MySejahtera, tak jaga pelitup muka, tak ada usaha nak jaga negara dari Covid-19.
“Jangan buat-buat puas hati dengan kompuan cukup syarat ini. Kita semua tahu ini tindakan tidak serius, main-main dan menebalkan ego ahli politik,” tulisnya.
Peguam Syahredzan Johan menerusi beberapa hantaran di Twitter pula menyorot beberapa kes langgar SOP dan membandingkan kompaun yang dikenakan kepada BN.
Antaranya kes penjual burger yang dikompaun RM50,000 pada April kerana berniaga melebihi waktu operasi yang dibenarkan.
Beliau juga memuat naik keratan berita mengenai seorang individu dikompaun RM10,000 kerana tidak mengimbas kod MySejahtera.
“Individu kena kompaun RM10,000 tak imbas MySejahtera.
“BN kena kompaun RM10,000 untuk majlis yang penuh satu dewan,” tulisnya.
Individu kena kompaun RM10,000 tak imbas MySejahtera
=
BN kena kompaun RM10,000 untuk majlis yang penuh 1 Dewan pic.twitter.com/X3ycBfIRgw— Syahredzan Johan (@syahredzan) October 27, 2021
Sementara itu, seorang pengguna Twitter @NazirulMubin44 berkata rakyat biasa dikompaun mengikut kepala, berbeza denda ke atas BN yang berhimpun dalam skala besar. – 28 Oktober, 2021.
Rakyat biasa melepak ramai² langgar SOP kena kompaun ikot kepala, BN buat masjlis ramai² langgar SOP hanya penganjur yang kena kompaun ? Guane tu @Khairykj dan @KKMPutrajaya ?
— mohd nazirul mubin (@NazirulMubin44) October 28, 2021
Komen