Tinjauan Fiskal: Bajet 2022 akan jadi pelan perbelanjaan terbesar kerajaan setakat ini


Ragananthini Vethasalam

Menurut laporan Tinjauan Fiskal 2022 kerajaan persekutuan, Bajet tahun depan akan menyumbang 20.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2021.

BAJET 2022  sebanyak RM332.1 billion akan menjadi pelan perbelanjaan kerajaan terbesar dalam sejarah yang akan dibentangkan, melebihi  RM322.5 bilion yang dibentangkan tahun lepas. 

Menurut laporan Tinjauan Fiskal 2022 kerajaan persekutuan, Bajet tahun depan akan menyumbang 20.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Mengikut norma tahun-tahun sebelumnya, Perbelanjaan Mengurus (OE) akan menyumbang sebahagian besar daripada peruntukan sebanyak RM233.5 bilion (2021: RM 219.6 bilion), dengan emolumen, caj khidmat hutang dan caj persaraan untuk penjawat awam yang terus mengambil sebahagian besar. 

“Emolumen penjawat awam menyumbang bahagian terbesar OE pada 2022. Komponen ini mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah OE, dianggarkan meningkat kepada RM86.5 bilion.

Kenaikan itu sebahagiannya untuk menampung kenaikan gaji tahunan. Begitu juga, caj persaraan dianggarkan meningkat kepada RM28.1 bilion (12% daripada jumlah OE) berikutan kenaikan pencen tahunan, ditambah dengan bilangan pesara dan penerima yang lebih tinggi dianggarkan kira-kira 628,300,” menurut laporan itu.

Sejumlah RM43.1 bilion akan diperuntukkan untuk caj khidmat hutang, di mana 98.2% akan digunakan untuk kupon hutang dalam negeri manakala bakinya untuk pinjaman luar pesisir.

“Nisbah caj khidmat hutang kepada OE dianggarkan lebih tinggi pada 18.5% sejajar dengan penggunaan instrumen hutang dalam membiayai pendirian fiskal pengembangan,” tambahnya.

Peruntukan bekalan dan perkhidmatan akan meningkat 30.5% pada anggaran RM30.4 bilion. Peningkatan peruntukan itu disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk bekalan perubatan serta peruntukan untuk perkhidmatan profesional.

Kementerian Kesihatan terima peruntukan tertinggi 

Kementerian Kesihatan akan menerima peruntukan tertinggi iaitu 33.1%, diikuti Kementerian Dalam Negeri (12.5%) dan Kementerian Pendidikan (11.2%).

Komponen lain OE termasuk subsidi dan bantuan sosial (RM17.4 bilion) dan geran kepada badan berkanun (RM14.1 bilion).

Perbelanjaan pembangunan 

Bajet 2022 akan menyaksikan peruntukan yang lebih tinggi untuk perbelanjaan pembangunan. Sebanyak RM75.6 bilion akan diperuntukkan untuk pembangunan, meningkat daripada RM 62 bilion tahun lepas.

Sektor ekonomi akan menjadi penerima terbesar dengan RM40.2 bilion atau 53.2% daripada jumlah DE, diikuti sosial dengan RM22.7 bilion (30%), keselamatan RM 9 bilion (11.9%) dan RM3.8 bilion pentadbiran am ( 4.9%).

Di bawah sektor ekonomi, subsektor pengangkutan akan menerima RM15.5 bilion, industri perdagangan akan menerima RM 2.1 bilion, kemudahan awam akan mendapat RM3.2 bilion, pertanian (RM2.9 bilion) dan alam sekitar (RM2.1 bilion).

Bagi sektor sosial, pendidikan dan latihan akan mendapat RM12 bilion, kesihatan akan mendapat RM4.5 bilion dan RM1.8 bilion untuk perumahan termasuk membina lebih banyak rumah PPR dan menaik taraf kuarters penjawat awam.

Rekalibrasi perbelanjaan 2021

Laporan itu menyebut pakej rangsangan ekonomi Permai, Pemerkasa, Pemerkasa + dan Pemulih berjumlah RM225 bilion dengan suntikan fiskal langsung RM25 bilion.

Ia menambah bahawa rangsangan tambahan dan langkah pembendungan telah memberi tekanan kepada hasil yang berada di bawah unjuran untuk anggaran Bajet.

Oleh itu, jumlah perbelanjaan telah ditentukan semula kepada RM320.6 bilion.

Rekalibrasi  itu melibatkan pengurangan bersih sebanyak RM1.9 bilion dalam perbelanjaan yang menghasilkan penjimatan sebanyak RM23.9 bilion, yang mana RM22 bilion telah disalurkan semula untuk membiayai suntikan fiskal langsung tambahan di bawah dana Covid-19.

Penjimatan itu disahkan melalui penangguhan program dan projek tertentu, penggantungan program tidak penting, semakan peruntukan untuk langkah bajet dan kekurangan perbelanjaan akibat kelewatan dalam melaksanakan projek akibat daripada sekatan pergerakan.

OE disemak 7.1% lebih rendah kepada RM219.6 bilion daripada peruntukan asal RM236.5 bilion manakala DE disemak kepada RM62 bilion daripada RM69 bilion. – 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen