Wiski Timah akan tukar nama selepas perjumpaan dengan kerajaan 


Syarikat pengeluar wiski Timah berkata pihaknya akan menukar nama produk itu selepas bermesyuarat dengan kerajaan.– Gambar Facebook, 28 Oktober, 2021.

PENGELUAR wiski yang menerima anugerah antarabangsa, Timah, bersetuju untuk menukar namanya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi. 

“Syarikat Winepark Corporation (M) Sdn. Bhd. telah memohon tempoh satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” kata menteri dalam satu kenyataan hari ini. 

Timah mencetuskan kontroversi selepas ahli PAS menyatakan nama itu merupakan singkatan daripada “Fatimah”, yang merupakan anak perempuan Nabi Muhammad.Ia mencetuskan kritikan daripada ahli PAS, pemimpin dan kumpulan Islam yang mendakwa ia sebagai cubaan untuk mengelirukan umat Islam. Minuman keras juga haram untuk orang Islam. 

Wiski berkenaan telah lama di pasaran dan mendapat pengiktirafan dan anugerah antarabangsa tahun ini dan tahun lepas. 

Syarikat itu turut menjelaskan bahawa nama Timah adalah perkataan tempatan untuk (lombong bijih) timah merujuk kepada era perlombongan bijih timah ketika British di Tanah Melayu, manakala Kapten Speedy - yang merupakan maskot dan imej pada labelnya - merupakan penolong residen Larut pada 1800an.

Bagaimanapun ada yang beranggapan imej itu, yang memakai sarung kepala dan berjambang, sangat hampir dengan gambaran lelaki Islam.

Alexander berkata kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama Timah dan mesyuarat telah diadakan dengan Winepark Corporation baru-baru ini. 

Mesyuarat berkenaan yang memutuskan syarikat itu perlu mengubah nama wiski berkenaan, dipengerusikan oleh Alexander dan dihadiri antaranya Menteri Komunikasi Dan Multimedia Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, serta beberapa pegawai kerajaan dan pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pihak terbaharu yang membangkitkan isu Timah adalah Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai daripada PKR. 

Ketika membahaskan Akta Perihal Dagangan di Dewan Rakyat, beliau berkata nama berkenaan sangat mengelirukan dan menghina wanita Melayu. 

“Jadi, bila kita minum wiski, ia memberi gambaran yang kita minum wanita Melayu,” beliau dipetik sebagai berkata oleh media. 

Rusnah juga menegaskan sarung kepala yang dipakai Kapten Speedy pada label minuman keras itu adalah seperti kopiah. Ia sebaliknya boleh pakai topi, kata ahli Parlimen Pakatan Harapan itu.– 28 Oktober, 2021.
  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen