Iran kembali ke meja rundingan nuklear November ini


Iran akan kembali ke meja rundingan dengan kuasa dunia berhubung perjanjian nuklear pada November, kata Timbalan Menteri Luar Iran Ali Bagheri. – Gambar EPA, 28 Oktober, 2021.

IRAN bersetuju untuk kembali ke meja rundingan dengan kuasa dunia berhubung perjanjian nuklear pada bulan depan, kata Timbalan Menteri Luarnya Ali Bagheri selepas bertemu pengantara Kesatuan Eropah (EU), semalam.

Negara lain masih belum mengesahkan penyertaan dalam perjanjian nuklear yang turut membabitkan rundingan tidak langsung di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

“Kami bersetuju untuk memulakan rundingan sebelum penghujung November.

“Tarikhnya akan diumumkan pada minggu depan,” katanya yang mengumumkan perkara itu melalui Twitter.

Beliau yang juga ketua perunding Tehran berkata pihaknya mengadakan dialog yang sangat serius dan membina menyentuh elemen penting untuk memastikan kejayaan rundingan berkenaan.

EU dan kuasa dunia bertungkus lumus untuk kembali ke meja rundingan di Vienna bagi memastikan perjanjian pada 2015 dapat dilaksanakan semula.

Sementara itu, Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian berkata Tehran akan menilai hasil daripada mesyuarat di Brussels sebelum menentukan tarikh yang tepat.

“Tetapi ia tidak akan terlalu lewat,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Tehran.

Perjanjian antara Iran dan kuasa besar dunia itu bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang berhubung kontroversi program nuklearnya yang hampir terkubur selepas bekas presiden AS Donald Trump menarik negara itu keluar pada 2018 dan mengenakan sekatan terhadap Iran.

Dalam pada itu, Presiden AS Joe Biden menyatakan kesediaan untuk kembali ke meja rundingan dengan syarat Iran memenuhi prasyarat utama yang ditetapkan.

Ini termasuk pematuhan penuh terhadap perjanjian itu yang sebelum ini berulang kali dicemari dengan pelanggaran termasuk meningkatkan aktiviti nuklear sejak AS meninggalkan pakatan itu. –AFP, 28 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen