PRESIDEN Nigeria Muhammadu Buhari berkata seramai 12 juta kanak-kanak takut untuk pergi ke sekolah di negara itu disebabkan ada kes penjenayah bersenjata lengkap menculik ratusan pelajar bagi mendapatkan wang tebusan.
Penculikan beramai-ramai pertama di negara paling ramai penduduk di Afrika adalah di timur laut pada 2014 apabila penjihad Boko Haram menculik 276 remaja perempuan dari Chibok yang mencetuskan kempen global yang dipanggil #BringBackOurGirls.
“Sejak itu, serangan ke atas sekolah semakin kerap berlaku dan merebak ke seluruh bahagian utara negara itu,” kata Buhari berucap pada Selasa pada persidangan keselamatan dalam pendidikan di ibu negara, Abuja.
Lelaki bersenjata di barat laut dan tengah Nigeria menyasarkan sekolah dan menculik lebih 1,000 pelajar sejak Disember.
Kesannya, kata Buhari, terdapat lebih 12 juta kanak-kanak ketika ini trauma dan takut untuk ke sekolah terutamanya melibatkan kanak-kanak perempuan.
Pakar memberi amaran remaja perempuan yang menamatkan persekolahan lebih awal berisiko untuk berkahwin.
Save The Children berkata awal bulan ini bahawa kira-kira 44 peratus kanak-kanak perempuan di Nigeria berkahwin sebelum mereka berusia 18 tahun, salah satu dari kadar perkahwinan kanak-kanak tertinggi di seluruh dunia.
Kebanyakan pelajar yang diculik dibebaskan selepas berunding dengan penculik mereka.
Buhari berkata walaupun pelajar yang diculik dibebaskan, trauma kejadian itu kekal dalam ingatan mereka.
Tambahnya kerajaan sangat komited mengutamakan keselamatan di sekolah.
“Kami sudah mengenal pasti dan meletakkan mekanisme bagi memastikan keselamatan sekolah di Nigeria,” katanya.
Namun katanya ia memang sukar bagi menangani cabaran keselamatan dan kesannya. – AFP, 28 Oktober, 2021.
Komen