RIO de Janeiro menarik semula perintah pemakaian pelitup muka untuk kawasan luar berkuat kuasa hari ini, kata gabenor negeri itu.
“Kami akan melonggarkan keperluan memakai pelitup muka di luar rumah.
“Lebih daripada satu setengah tahun selepas kecemasan awam diisytiharkan akibat wabak itu dan ini adalah kemenangan penting untuk kita semua,” tulis Gabenor Claudio Castro di Twitter.
Badan perundangan negeri meluluskan rang undang-undang yang menghapuskan keperluan pelitup muka pada Selasa lepas.
Pelitup muka perlu dipakai di Brazil hanya di ruang awam tertutup.
Kelab malam dan konsert di Rio akan dibuka semula pada separuh kapasiti.
Ibu kota Brasilia sementara itu merancang untuk menarik semula perintah pemakaian pelitup muka pada 3 November.
Covid-19 meragut lebih 600,000 nyawa di Brazil, yang merupakan angka kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.
Selepas kempen imunisasinya bermula dengan permulaan yang sukar, negara Amerika Selatan itu kini berjaya memberi vaksin sepenuhnya kepada lebih separuh daripada 213 juta penduduknya dan 72% penduduk sudah menerima dos pertama. – AFP, 28 Oktober, 2021.
Komen