BN minta Putrajaya semak semula SOP pilihan raya 


Ravin Palanisamy

BARISAN Nasional (BN) akan merayu kepada Putrajaya untuk menyemak semula larangan perhimpunan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada pilihan raya negeri Melaka, kata bekas speaker negeri Ab Rauf Yusoh hari ini.

Menurutnya tidak masuk akal untuk tidak membenarkan aktiviti kempen secara fizikal sedangkan semua aktiviti lain dibenarkan dan sekatan dilonggarkan.

“Kami merayu kepada kerajaan untuk melonggarkan syarat agar kami boleh berkempen mengikut syarat baharu yang lebih longgar ditetapkan oleh kerajaan.

“Apa gunanya untuk ke Melaka jika akhirnya terkurung di rumah?

“Perjalanan rentas negeri dibenarkan, sembahyang di masjid dibenarkan, perhimpunan sosial dibenarkan tetapi berkempen tidak dibenarkan,” kata pengerusi perhubungan Umno negeri Melaka itu pada pelancaran jentera pilihan raya BN.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan semua perhimpunan fizikal dan acara sosial pada pilihan raya negeri Melaka tidak dibenarkan bermula 25 Oktober hingga 27 November.

Menyatakan terdapat keperluan untuk mengurangkan risiko jangkitan baharu Covid-19, Khairy berkata larangan itu termasuk acara melancarkan jentera pilihan raya pelbagai parti.

Dalam pada itu, Rauf turut menyalahkan DAP atas kejatuhan kerajaan negeri BN, yang membawa kepada pilihan raya.

Rauf berkata DAP mempermainkan bekas Adun Umno Sungai Udang Idris Harun selepas berjaya menggulingkan kerajaan negeri.

Rauf mendakwa bahawa Idris mahu menjadi ketua menteri akan datang tetapi mendakwa perkara itu tidak berlaku apabila pimpinan DAP menolak cadangan untuk Idris kembali menjadi ketua menteri.

“Sungai Udang dipermainkan DAP apabila mereka dapat apa yang mereka mahukan.

“Beliau menyebabkan kerajaan negeri jatuh namun gagal kembali sebagai ketua menteri, kata Rauf yang turut menyifatkan Idris sebagai seorang yang tamak kuasa. 

Rauf juga mendakwa pilihan raya boleh dielakkan sekiranya langkah menjatuhkan kerajaan tidak disokong Pakatan Harapan. – 27 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen