Rangkaian stesen petrol Iran lumpuh akibat serangan siber 


Perkhidmatan stesen minyak di Tehran lumpuh selepas sistem rangkaian pengedarannya berdepan serangan siber.– Gambar EPA, 27 Oktober, 2021.

SERANGAN siber menyebabkan rangkaian sistem pengedaran petrol di Iran terjejas teruk yang mana menurut pihak berkuasa keselamatan, serangan dibuat dari luar negara. 

Ia melumpuhkan sistem kad elektronik yang dikeluarkan kerajaan kepada pengguna motosikal untuk mendapatkan petrol bersubsidi. 

Pengguna motosikal dilihat beratur panjang di luar stesen minyak, mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya lain di negara berkenaan yang turut berdepan dengan sekatan ekonomi berikutan pertikaian nuklear dnegan negara kuasa besar. 

“Boleh beritahu saya di mana nak dapatkan petrol di timur, barat daya atau utara Tehran?” soal seorang pengguna di Twitter. 

Daripada 4,300 stesen minyak yang menggunakan sistem berkenaan, hyanya 220 yang kembali beroperasi, kata jurucakap Syarikat Pengedaran Produk Minyak Nasional, Fatemeh Kahi kepada agensi berita IRNA. 

Bagaimanapun tambahnya, “hampir 3,000 stesen boleh mengagihkan bahan api di luar talian, tetapi pada harga terbuka”—kadar yang perlu dibayar pengguna sebaik sahaja mereka menghabiskan elaun bulanan bahan api bersubsidi. – AFP, 27 Oktober, 2021.
  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen